KUALA LUMPUR, 7 MEI 2021 – Di rantau Asia Tenggara, Malaysia merupakan salah satu destinasi popular bagi pekerja asing untuk mendapatkan pekerjaan, terutama bagi mereka yang tidak berkemahiran atau memiliki sedikit kemahiran. Seperti negara lain, kebanyakan perniagaan di Malaysia mempunyai kebergantungan yang kuat kepada pekerja migran disebabkan aspek pemodenan dan kekurangan tenaga kerja tempatan di sektor pekerjaan. Dengan pelaksanaan PKP/PKPB yang sedang berlangsung, tambahan pula dengan peningkatan kes Covid-19, Manforce Group Berhad, salah satu syarikat pengurusan perkhidmatan pekerja asing yang terkemuka di Malaysia, bersedia untuk meningkatkan dan membangunkan tenaga kerja dan ekonomi Malaysia dengan membina tenaga kerja muda tempatan melalui inisiatif Program Pembangunan Insan Malaysia (“MDUP”).


Dilancarkan pada Februari 2020, program ini bertujuan untuk memperkasakan anak muda Malaysia dengan kemahiran belajar, kehidupan dan pekerjaan yang diperlukan; meningkatkan pertumbuhan yang mampan dengan tenaga kerja mahir melalui latihan industri asas sekaligus memastikan bahawa anak muda Malaysia memahami dan melebihi jangkaan majikan. Manforce Group bersama rakan kongsinya seperti syarikat perkilangan Maxter Glove, Panasonic, George Kent dan yang lain bekerjasama untuk memberi pekerjaan kepada para pelajar setelah tamat progam 6 bulan ini.

Dato’ Paul Wong Boon Ming, Pengarah Urusan Kumpulan Manforce Group Berhad, mengatakan bahawa program ini bukan sahaja bermanfaat untuk negara dan pelbagai industri, ia juga memanfaatkan individu yang terlibat dalam program ini. Pemerkasaan tenaga kerja tempatan dapat menyumbang banyak faedah kepada para majikan dan oleh itu, Manforce Group bertekad untuk mendorong para remaja yang berdedikasi untuk mengambil bahagian dalam latihan industri lalu menyediakan peluang pekerjaan untuk mereka demi meningkatkan pembangunan ekonomi negara
yang secara langsung dapat mengembalikan keyakinan rakyat negara.

“Pembekuan pengambilan pekerja migran sejak awal 2020 bermanfaat bagi Malaysia kerana ia dapat mengurangkan bilangan pekerja asing di negara kita lalu memberi keutamaan kepada penduduk tempatan untuk mendapatkan pekerjaan. Kehadiran ramai pekerja asing di negara ini menyukarkan pencarian pekerjaan untuk rakyat tempatan, terutama bagi golongan belia. Oleh itu, kami tampil dengan MDUP sebagai jalan penyelesaian yang tepat untuk mendorong syarikat-syarikat Malaysia memperkasakan tenaga kerja tempatan sambil membantu pembanguan ekonomi negara,” jelas Dato’ Paul semasa konvokesyen lulusan kumpulan pertama MDUP.

Program ini disasarkan untuk mereka yang berumur 18 hingga 30 tahun yang terdiri daripada lepasan sekolah, mereka yang tidak dapat melanjutkan pelajaran akibat masalah kewangan, para penganggur, atau kumpulan B40 dari kawasan luar bandar dengan peluang pekerjaan yang terhad.


Manforce Group menaja individu-individu ini untuk mengikuti kursus latihan praktikal selama 6 bulan, lengkap dengan elaun, tempat penginapan, dan sijil untuk mengesahkan tamatnya kursus latihan yang diperakui sepenuhnya oleh School of Professional and Continuing Education (UTMSPACE) dan ProCel Faculty Economy and Business UNIMAS.

Manforce Group telah berjaya melatih kumpulan lulusan pertama mereka pada Mac 2021. 70% siswazah memutuskan untuk memulakan karier mereka di syarikat perkilangan, sementara selebihnya memilih untuk melanjutkan pelajaran. Majoriti (63%) calon program ini berasal dari Pantai Timur (Kelantan, Terengganu, dan Pahang) sementara yang lain berasal dari Pantai Barat.

“Kami telah melatih lebih daripada 70 lulusan MDUP sejak penubuhannya pada tahun 2020, dan kami yakin bahawa mereka terlatih dan memiliki dorongan untuk memasuki industri pekerjaan kerana mereka telah menjalani kursus latihan selama 1,500 jam dalam program 6 bulan ini dan ini membuat mereka bersemangat untuk menggunakan kemahiran dan latihan mereka dengan baik,” jelas Dato Paul.

“Pengalaman langsung dalam kerjaya yang diinginkan merupakan satu kelebihan. Diploma atau ijazah mungkin tidak penting bagi seorang pekerja am, namun apa yang kami harapkan adalah untuk melihat para lulusan program ini menggunakan kemahiran dan pengetahuan yang dipelajari untuk menyesuaikan diri di tempat kerja masing-masing. Kami berharap mereka dapat memperoleh pekerjaan yang menjanjikan keselamatan kerja and penggajian yang baik dan pada masa yang sama mampu menyara diri dan keluarga.”

Akibat peningkatan kes Covid-19 di kawasan Lembah Klang dan keprihatinan mengenai kesihatan, sesi latihan dan temu ramah bagi program ini dijalankan melalui platform digital seperti Zoom. Manforce Group kemudian akan menghantar calon pilihan terus ke tempat kerja masing-masing setelah tamat kursus latihan. Setakat ini, program ini merangkumi kira-kira 350 calon dan ia dalam perancangan untuk mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia pada akhir 2022.


Untuk maklumat lebih lanjut mengenai inisiatif ini, sila kunjungi https://www.manforce.net/

Previous post BSN Takaful lancarkan Sakinah pelan serendah RM55 setahun
Next post It’s a record breaking day at Realme