KUALA LUMPUR, 12 Disember 2023 – Inisiatif baharu MIMOS Berhad agensi di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), dan di bawah pengawasan MAMPU, penyepaduan MyDigital ID sebagai kaedah pengesahan untuk semua perkhidmatan digital Kerajaan menjanjikan pengalaman transformasi kepada rakyat. Pelaksanaan ini bertujuan untuk memudahkan akses kepada pelbagai perkhidmatan digital sambil memperkukuhkan keselamatan transaksi dalam talian

MyDigital ID berfungsi sebagai kaedah pengesahan dalam talian, memberikan rakyat akses yang lancar kepada pelbagai platform digital kerajaan. Dengan penyepaduan proses pengesahan dalam talian, individu boleh menggunakan pelbagai perkhidmatan tanpa menghadapi kerumitan log masuk berbilang dan memudahkan interaksi digital dengan agensi-agensi Kerajaan. 

Penggunaan MyDigital ID pada portal Kerajaan dapat menjamin transaksi yang selamat melalui sistem berasaskan kriptografi yang terjamin keselamatannya. Keselamatan sistem ini diperakui Pensijilan Kriteria Umum yang diiktiraf di peringkat antarabangsa pada EAL3+. Aplikasi MyDigital ID pada telefon pintar mengandungi identiti digital rakyat yang terikat secara kriptografi (teknologi yang sangat selamat) kepada nama dan nombor kad pengenalan. Rakyat boleh melibatkan diri dalam aktiviti dalam talian dengan yakin kerana ciri-ciri keselamatan MyDigital ID yang kukuh dalam melindungi maklumat. 

MyDigital ID sebagai tunjang komitmen kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan digital yang boleh diakses dan selamat untuk semua rakyat. Sistem bersatu ini bukan sahaja memudahkan pengalaman pengguna tetapi juga mengutamakan perlindungan maklumat sensitif di samping mengukuhkan kepercayaan pengguna terhadap infrastruktur digital ini. 

Pelaksanaan MyDigital ID menandakan satu langkah penting ke arah persekitaran digital yang lebih mesra pengguna dan selamat, sejajar dengan visi kerajaan untuk memanfaatkan teknologi demi memperkasakan rakyat. 

MIMOS menekankan bahawa MyDigital ID tidak menyimpan sebarang data biometrik seperti cap jari, maklumat mata, atau pengecaman muka, dan tidak menggunakan sebarang cip atau implan.

MyDigital ID juga tidak mengumpul, memantau atau menyimpan pangkalan data peribadi mahupun aktiviti pengguna dalam talian, tidak mendedahkan data peribadi secara terbuka, dan tidak membolehkan pengguna memiliki lebih daripada satu identiti digital. Ia juga tidak berfungsi sebagai pengganti MyKad untuk bukti pengenalan. 

Buat masa ini, pendaftaran MyDigital ID dibuka kepada semua kakitangan kerajaan. Pendaftaran secara umum akan bermula pada Mac 2024. Maklumat pendaftaran dan lokasi kios pendaftaran akan disenaraikan di laman web MyDigital ID kelak.

Untuk maklumat lanjut dan pertanyaan, sila hantar e-mel ke info@mimos.gov.my atau https://www.mimos.my/main/portfolio/mydigital-id/ 

 

Sumber: MIMOS

 

CEO-KWSP-dilantik-menjadi-Menteri-Kewangan-II Previous post CEO KWSP dilantik menjadi Menteri Kewangan II
Dzulkefly-bertekad-untuk-melaksanakan-agenda-transformasi-kesihatan-digital Next post Dzulkefly bertekad untuk laksanakan agenda transformasi kesihatan digital