WILAYAH PERSEKUTUAN PUTRAJAYA PUTRAJAYA, 15 JANUARI 2026 – Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya, telah merasmikan Majlis Penyerahan Pembinaan Sekolah Baharu 36 Bilik Darjah dan lain-lain Kemudahan Di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(3). 

Majlis yang berlangsung di Dewan Utama sekolah tersebut turut dihadiri oleh Yang Berhormat Puan Fadhlina binti Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia; YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin Bin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM); YBhg. Dato’ Sri Ir. Roslan bin Ismail,  Ketua Pengarah Kerja Raya; Ybrs. Dr. Mohd Azam Bin Ahmad, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan YBhg. Dato’ Ir. Ibrahim Bin Esa, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) serta pegawai-pegawai kanan KPM, KKR dan JKR Malaysia. 

Projek yang siap sepenuhnya pada 2 Januari 2026 ini adalah manifestasi komitmen yang diberikan oleh seluruh pasukan projek dalam menyediakan prasarana pendidikan berkualiti. Projek ini merangkumi pembinaan Blok Pentadbiran, Blok Bangunan Akademik termasuk Bilik Darjah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI),) Blok Pra-Sekolah, Blok Dewan, Blok Kantin, Pondok Pengawal,  Bangunan Pencawang Elektrik, Padang dan Gelanggang Permainan serta Blok Utiliti yang menempatkan kemudahan sokongan. 

Pelaksanaan projek ini adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan MADANI yang memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat melalui pemerkasaan ekosistem pendidikan yang kondusif.

Selain menangani isu kepadatan murid di kawasan sekitar, infrastruktur baharu ini menyediakan ruang pembelajaran yang lebih selesa, selamat, dan inklusif bagi melahirkan generasi pemimpin masa hadapan.

Dari aspek teknikal, projek ini turut menampilkan ciri-ciri reka bentuk moden dan penerapan elemen Facade Fenestration sebagai identiti utama seni bina bangunannya yang diterjemahkan melalui penggunaan penghadang suria (Shading Devices) untuk menghalang pancaran cahaya matahari secara langsung dan mengurangkan penyerapan haba ke dalam bangunan. 

Pendekatan pembinaan mampan turut diterapkan bagi projek ini melalui penggunaan komponen Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang bukan sahaja mempercepatkan tempoh pembinaan, tetapi juga mengurangkan penggunaan konkrit dan bahan binaan lain, sekaligus menjimatkan sumber serta mengurangkan jejak karbon keseluruhan projek. 

Selain itu, projek ini turut mencatat tiga pencapaian utama 3-dalam-1 seperti berikut:

a) Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC), pada 2 Januari 2026, 

b) Lukisan Siap Bina (As-Built Drawing), sebelum CPC; dan

c) Penyata Akaun Muktamad (SOFA),

Selain itu, antara nilai tambah lain termasuklah:

a) Zero Lost Time Injury (LTI) direkodkan sepanjang tempoh 524, 638 jam pekerja 

(man-hours);

b) Penyediaan Dokumen Aset Tagging yang lengkap sebelum CPC; dan

c) Penyediaan Dokumen Operation & Maintenance (O&M) siap sepenuhnya.

Untuk rekod, sepanjang tahun 2025 sebanyak 177 projek pendidikan telah diserahkan kepada KPM. KKR melalui JKR Malaysia sentiasa komited dalam menyokong pembangunan negara melalui penyediaan infrastruktur pendidikan yang berkualiti, berimpak tinggi dan mampan demi memenuhi keperluan pelanggan dan kesejahteraan rakyat. 

Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan nilai

kesejahteraan, inklusif dan kelestarian dalam membentuk masyarakat berilmu, progresif  dan berdaya saing.

Sumber : Jabatan Media JKR/KKR

Untuk : Sukses News

Previous post Pembinaan laluan jalan raya bagi menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah ke CIQ Sadaq, Thailand