KUALA LUMPUR, 28 September – Setelah berjaya menganjurkan 45 siri jelajah di seluruh Malaysia dan Asia sejak 2013, Anita Bikers Club kini kembali lagi dengan aktiviti kembaranya menerusi program Anita KTM Borneo Expedition 2022.
Program kembara terbaharu yang berlangsung selama 10 hari bermula dari 30 September hingga 10 Oktober 2022 ini memulakan penjelajahan bermula dari Sarawak, Brunei, Sabah dan Labuan.
Ia melibatkan peserta seramai 125 orang dan diiringi bersama rakan-rakan Bikers dari Borneo seperti Persatuan Penunggang Nthree Rider Brunei, PEMODA, Razz Cafe, Sarawak dan Labuan Bikers Group dan lain-lainnya.
Acara jelajah berkonvoi terbaharu yang bertemakan misi ‘Safe Ride, Go Green dan Kembara Bantuan Kemanusiaan dirasmikan oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah pada Majlis minum Petang serta Sidang Media Anita KTM Borneo Expedisi 2022 di kediaman rasmi Ahli Parlimen Gua Musang itu, Jalan Langgak Golf, Kuala Lumpur pada 28 September 2022.
Pada sidang media berkenaan, Pengerusi Anita Bikers Club, Anita Yusof menzahirkan ucapan terima kasih kepada YBM Tengku Razaleigh Hamzah kerana membantu serta menyokong perjuangan beliau dan rakan-rakan dalam menjayakan kempen kembara kemanusiaan yang telah bermula pada 2013.
“Sepanjang siri 2013, banyak jerih perih yang terpaksa saya lalui secara bersendirian tanpa sokongan daripada sesiapa tetapi saya tetap perjuangkan untuk membantu banyak golongan di samping meningkatkan taraf ekonomi industri pelancongan di Malaysia dan mengajak semua generasi belia supaya sedar akan misi kembara kemanusiaan ini,” katanya kepada media.
Menurut Anita, ekspedisi ini adalah lanjutan dari kempen sebelum ini iaitu siri jelajah Merdeka Ride di Nation Merdeka Ride Ogos 2022 yang telah berkonvoi ke Semenanjung Malaysia antaranya ke negeri Selangor, Perak dan Kelantan.
Semasa berada di Kelantan, katanya, beberapa aktiviti telah diadakan termasuk menyantuni dan memberikan sumbangan serta meraikan Anggota Persatuan Veteran ATM di Dataran Kesedar, Gua Musang. Begitu juga aktiviti mengunjungi Gua Neon dalam misi prihatin cintai kehijauan alam “Go Green”.
“Acara jelajah bersama YBM Tengku Razaleigh Hamzah dan anjuran Anita Entertainment juga turut berkonvoi ke Sekolah Kebangsaan Seberang Perak bersama-sama pelajar sekolah bagi misi ‘No Rempit’ dan Kayuhan Kebangsaan dalam memberikan motivasi dan pendidikan riadah yang sihat kepada pelajar-pelajar sekolah khasnya.
“Untuk ekspedisi Borneo ini, kami telah dibantu dan dibekalkan motor khas oleh syarikat pengeluar dari Australia iaitu KTM yang cuba membantu di bawah misi YBM Tengku Razaleigh. Mereka cuba membantu memberi kami 5 motor sebagai simbolik untuk di bawa ke seluruh Borneo dengan perjalanan yang sangat mencabar sejauh 4200 KM.
Dalam kempen Go Green, Cuti-cuti Borneo turut mendapat kerjasama daripada Sabah Tourisme dan Desa Tunas Hijau Labuan. Bermisikan kembara kemanusiaan ini akan sama-sama menyantuni dan ziarah ke persatuan berbagai kaum Etnik di Borneo di samping mengunjungi tempat-tempat menarik dalam mempromosikan pelancongan di Borneo,” kata Anita lagi.
Sebarang pertanyaan hubungi Anita di 0179089946