Johor Bahru: Walaupun hampir gagal dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ia tidak menghalang seorang bekas pekerja bengkel dari Mersing di sini, bangkit sebelum ditawar bekerja dengan syarikat minyak dan gas antarabangsa berpangkalan di Belanda.

Muhamad Alif Hamdi, 36, kini menjawat jawatan sebagai Jurutera Pemeriksa Dalam Air untuk syarikat antarabangsa, Boskalis Subsea serta sedang bertugas di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Lebih membanggakan, dia menjadi satu-satunya anak Malaysia yang diterima bertugas di jabatan berkenaan.

Tugasnya sebagai jurutera itu bagi sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa membawanya bekerja di banyak negara seluruh dunia termasuk di Belanda, England dan Republik Congo selain beberapa negara di Asia Timur dan Asia Barat.

“Tugas saya banyak membabitkan kerja kimpalan di laut dalam selain menyelia kerja kimpalan, unit kami memerlukan kepakaran khas menyelam di laut dalam.

“Tugas ini pernah membawa saya ke banyak negara termasuk Iraq dan beberapa wilayah di China dan Asia Barat.

“Bagaimanapun, kesempatan bekerja di Port Harcourt, Nigeria iaitu antara lautan paling berbahaya di dunia adalah satu pengalaman dan kenangan yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.

“Walaupun kerja dilakukan mempunyai risiko yang tinggi, namun saya sangat seronok bekerja apatah lagi peluang mengembara ke banyak negara di dunia adalah kelebihan yang menjadi impian saya sejak remaja,” katanya ketika dihubungi.

Berkongsi kisah awal dirinya, Muhamad Alif berkata, dia pernah berputus asa dengan hidupnya berikutan keputusan peperiksaan SPM yang tidak memberangsangkan sehingga gagal melanjutkan pelajaran.

Muhamad Alif ketika menjalankan kerja kimpalan di laut dalam. FOTO IHSAN MUHAMAD ALIF
Muhamad Alif ketika menjalankan kerja kimpalan di laut dalam. FOTO IHSAN MUHAMAD ALIF

“Saya membuat keputusan bekerja di sebuah bengkel baik pulih kenderaan di Mersing berikutan kecewa kerana tidak dapat melanjutkan pelajaran seperti rakan yang lain.

“Namun, ketika bekerja di bengkel itu, rakan sekerja menasihatkan saya menyambung pengajian dalam bidang vokasional kerana saya masih muda.

“Akur dengan nasihat rakan, saya memutuskan menyambung pengajian dalam bidang Kimpalan dan Fabrikasi Logam di Institut Kemahiran Mara (IKM) Johor Bahru pada 2003 dan keputusan itulah yang menjadi titik perubahan penting hidup saya.

“Selepas menamatkan latihan selama setahun setengah di IKM JB, saya berjaya menyambung pengajian ke peringkat diploma dan ijazah pertama dalam bidang sama di Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute (UniKL MFI),” katanya.

Muhamad Alif berkata, dalam mengejar cita-cita menjadi jurutera dan memahami lebih lanjut pengajian yang diikuti, pada 2007 beliau memutuskan memulakan kerjaya sebagai jurukimpal dalam air dan pemeriksa kimpalan, untuk menambah kemahiran dan mendalami bidang berkenaan.

“Sewaktu di universiti, setiap kali cuti semester saya mengambil peluang belajar dan kemudian bekerja sebagai penyelam komersial, demi mencari pengalaman dan ternyata semuanya sangat berguna apabila memasuki alam pekerjaan.

“Alhamdulilah, saya berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah pada 2010 dan diberi kesempatan menimba pengalaman di beberapa negara di sekitar Asia sebelum ditawarkan kerja di syarikat minyak dan gas antarabangsa itu sehingga kini.

Muhamad Alif turut menasihatkan generasi muda yang mencatat keputusan SPM kurang cemerlang supaya tidak berputus asa sebaliknya menyambung pengajian di institusi pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) yang diwujudkan kerajaan.

“Antara contoh institusi pendidikan TVET negara kita termasuk Giat Mara, IKM, dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), yang boleh dijadikan pilihan.

“Nasihat saya, gunakan peluang sewaktu belajar di TVET untuk mencari ilmu, kemahiran serta pengalaman berkaitan bidang pengajian sebanyak mungkin kerana ia akhirnya akan menjadi kelebihan dan menonjolkan keupayaan kita berbanding orang lain,” katanya.

Sumber : Metro

Previous post PDRM perlu kekal institusi bebas: MCCF
Next post Kenaikan harga bahan binaan: cadangan klausa perubahan harga wajar diperhalusi