DIARAHKAN oleh David Lam, ‘G Storm’ merupakan sajian kelima dan terakhir bagi francais ‘Storm’ yang bermula dengan ‘The White Storm’ pada 2013, diikuti ‘S Storm’ (2016), ‘L Storm’ (2018), dan ‘P Storm’ (2019).

Para peminat Louis Khoo sebagai pelakon utamanya, dan pengikut francais ‘Storm’ tentu telah ‘masak’ dengan filem jenayah aksi lasak ini. Pastinya mereka juga maklum ‘G Storm’ merupakan sajian terakhir. Memegang watak William Luk, Louis Khoo muncul dalam semua sajian yang ‘pecah panggung’.

Bagi peminat francais ‘Storm’ di Hong Kong, ‘G Storm’ yang menggunakan bahasa Kantonis ini merupakan filem yang istimewa, meskipun pastinya menyedihkan.

Walau bagaimanapun, peminat di Malaysia akan menontonnya dengan sedih berbaur gembira/bangga. Faktor sedih difahami, tetapi mengapa pula gembira/bangga?

Selepas muncul sebagai antara orang kanan (‘sidekick’) dalam ‘Kabali’ (2016) filem dari ‘Kollywood’ yang dibintangi bintang besar Rajinikanth, aktor handalan tanah air, Datuk Rosyam Nor tampil dengan watak yang lebih mencabar dalam ‘G Storm’ walaupun adegannya tidak begitu banyak.

Rosyam atau nama sebenarnya, Mohamed Noor Shamsuddin, lega apabila ‘G Storm’ akan menemui peminat tidak lama lagi. Meskipun berhadapan dengan pelbagai rintangan akibat COVID-19 yang melanda dunia pada awal 2020, Rosyam bersyukur.

‘G Storm’ yang akan ditayangkan di pawagam pada hujung bulan, atau lebih tepatnya akhir tahun ini merupakan filem Hong Kong pertama yang Rosyam bintangi sejak mula berkecimpung dalam dunia seni tanah air pada 1986.

Ternyata lakonannya dalam ‘Kabali’ menarik minat pembikin filem antarabangsa. Walaupun agak lewat, iaitu ketika berusia 49 tahun (kini 54 tahun), tetapi itu tetap membanggakan kita rakyat Malaysia amnya, dan peminat filem khasnya. Better late than never.

Bukan kita sahaja, malah Rosyam sendiri tidak menyangka beliau akan beraksi dalam filem yang dibintangi aktor handalan/terkenal Hong Kong selain Louis Khoo, iaitu Julian Cheung, Kevin Cheng, Jessica Hsuan, Bosco Wong, dan Deno Cheung.

Tidak sekadar itu, Rosyam tampil dalam beberapa adegan bersama-sama Louis Khoo, Julian Cheung, dan Jessica Hsuan. Lebih menarik, beliau bergelut dengan Louis Khoo dalam adegan kemuncak.

Walau bagaimanapun, oleh kerana Louis Khoo pelakon utama ‘G Storm’, tentulah Rosyam tidak beraksi sebagai wira seperti yang beliau akui. Sebaliknya, bapa kepada lima anak ini memegang watak King, ketua sindiket pemerdagangan manusia di Hong Kong.

Begitu pun, memegang watak antagonis yang bertaraf aktor pembantu seperti King itu sudah boleh dianggap satu kejayaan besar dalam kerjaya Rosyam.

Dengan Rosyam yang pernah membintangi beberapa filem aksi lasak pertarungan fizikal di Malaysia seperti ‘Bara’ (1999), ‘Gerak Khas the Movie’ (2001), ‘Gangster’ (2005), ‘Castello’ (2006), dan ‘KL Gangster 2’ (2013), penonton tentu mahu melihat aksi serupa daripadanya dalam ‘G Storm’.  

Namun demikian, itu tiada dalam ‘G Storm’. Louis Khoo dan yang lain-lain juga lebih banyak menggunakan pistol, senapang, dan bom tangan. Ternyata filem ini lebih mementingkan aksi tembak-menembak daripada ‘berlengan’. Mungkin pertarungan fizikal yang meleret-leret seperti banyak filem terdahulu tidak lagi digemari – bukan trend. Barangkali itu dianggap hanya membuang masa.

Rosyam juga, kecuali pergelutan kecil dengan Louis Khoo, lebih banyak menggunakan senapang berbanding kaki dan tangannya. Tanpa ‘berlengan’ seperti dalam filem aksi lasak terdahulu, beliau tetap berkarisma meskipun kaca mata dan sut yang dipakainya kelihatan klise.

Begitu pun, kesan khas untuk adegan tembak-menembak di banyak tempat tidak mengecewakan. Kesemuanya masih nampak hebat walaupun bukan yang terbaik.

‘G Storm’ membawa kisah Luk, ketua penyiasat Suruhanjaya Bebas Mencegah Rasuah (ICAC Hong Kong) dan Ching Fei-hung (Kevin Cheng) menyiasat kes rasuah kastam, dan mendapati ia ada kaitan dengan King, serta melibatkan Emma Pong (Jessica Hsuan), Ketua Hakim Asia Tenggara.

Luk dan Ching bersama-sama dengan Ketua Inspektor Lau Po-keung (Julian Cheung) berazam memberkas King, dan membawanya ke muka pengadilan.

Sebelum bertugas di Unit Perlindungan Orang Kenamaan (VIPPU) Hong Kong, Po-keung berkhidmat di Unit Perisikan Kewangan Kongsi (JFIU).

Kisah kakitangan pasukan keselamatan dan hakim rasuah sudah kerap dipaparkan dalam filem bercorak jenayah. Tindakan melindungi adik sendiri yang melakukan jenayah tanpa mengira siapa juga stereotaip.

Dalam ‘G Storm’, selain hakim Pong rasuah, Fei-hung (Bosco Wong), iaitu adik Ching ialah pegawai Jabatan Kastam dan Eksais yang ‘makan suap’. Ching tahu Fei-hung sedemikian, tetapi sentiasa melindungi adiknya itu daripada Luk, walaupun akhirnya terbongkar.

‘G Storm’ mula menjalani penggambaran pada Disember 2019. Pada 16 Disember tahun tersebut, penggambaran adegan letupan diadakan di Tsim Sha Tsui melibatkan Louis Koo, Julian Cheung, Kevin Cheng, Jessica Hsuan, dan Bosco Wong, bersama-sama lebih 100 pelakon tambahan.

Pembikinannya kemudian terhenti pada awal Januari 2020 ekoran COVID-19, sehingga disambung semula lima bulan kemudian. Penggambaran selesai pada penghujung Jun 2020. Gara-gara wabak pandemik itu, penggambaran dua adegan penting, termasuk persidangan antarabangsa, dan tembak-menembak yang panjang di Asia Tenggara dibatalkan. Kedua-duanya menjalani penggambaran di Hong Kong.

‘G Storm’ turut dibintangi Michael Tse (Siu Cheuk-ngah, ketua King, dalang di sebalik sindiket pemerdagangan manusia), Louis Cheung (Wong Luk-lam, rakan Luk yang dikenali di dalam penjara yang kemudian menjadi pemberi maklumat), Dada Chan (Donut Ma, isteri Wong Luk-lam), Ding Haifeng (Hong Liang, pengarah Biro Pencegah Rasuah China), Toby Chan (Cindy Lee, inspektor JFIU, dan orang bawahan Lau), Eddie Kwan (Yu Sir, Pengarah Penyiasatan ICAC), serta Anika Sheng, Babyjohn Choi, dan Deno Cheung (masing-masing sebagai Tammy Tam, Cel Siu dan Wong Hoi-leung – pegawai ICAC, dan orang bawahan Luk).

Previous post MTIB lancarkan dapur prihatin bantu mangsa banjir
Next post Jualan Gudang Al-Ikhsan 2021