KUALA LUMPUR, 18 April, 2022: Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), telah menamakan YB Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (BOT), berkuat kuasa 31 Mac 2022.

Agensi yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembinaan kapasiti ke arah kelestarian bakat Bumiputera itu berkata, pelantikan Dr Abdul Latiff dijangka mampu merangsang dan memacu aspirasi Yayasan Peneraju dalam memupuk dan membangunkan modal insan serta meningkatkan daya saing mereka dalam pelbagai sektor.

Selain Yayasan Peneraju, Dr Abdul Latiff yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), turut mempengerusikan badan kerajaan lain di bawah portfolionya, termasuk Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Kesihatan (2004-2010), Timbalan Menteri Pertahanan (2010-2013), Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dari 2013-2019 dan yang terkini Menteri di Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Dr Abdul Latiff turut menyokong inisiatif Train & Place di mana beliau percaya program sedemikian mampu menangani isu kebolehpasaran terutamanya dalam kalangan graduan baharu, belia dan kumpulan terpinggir. Inisiatif Train & Place, yang merupakan sebahagian daripada strategi penting untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan meminimumkan pengangguran, menawarkan pembiayaan penuh dan jaminan pekerjaan di syarikat Malaysia untuk para graduan.

Justeru, Dr Abdul Latiff akan berterusan mencari peluang kerjasama untuk Yayasan Peneraju dengan pemain industri, penyedia latihan berpotensi dan pihak berkepentingan lain untuk memastikan program yang ditawarkan berkualiti tinggi, relevan dan akan meningkatkan kebolehpasaran penerima faedah mereka.

Ahli Lembaga Pengarah lain termasuk Timbalan Pengerusi, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Ghafar Mahmud, mantan Ketua Pengarah Pendidikan dan Pengerusi Yayasan Sarana Pendidikan Malaysia, dan Datuk Yasmin Mahmood, Pengerusi Heriot-Watt University Malaysia dan Skymind Holdings Bhd.

Yayasan Peneraju adalah sebuah agensi yang diberi mandat untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat Bumiputera dalam ekonomi berpendapatan tinggi melalui program pembiayaan akademik, pensijilan TVET, profesional, teknologi dan spesialis.

Yayasan Peneraju sehingga kini telah membiaya lebih 46,000 individu dari seluruh Malaysia, melalui 370 program pembiayaannya dan membekalkan tenaga kerja berkualiti bagi merapatkan jurang industri yang mempunyai permintaan tinggi.

Ia juga merupakan salah satu agensi pembiayaan utama untuk membangunkan dan membekalkan modal insan yang cekap untuk pelbagai bidang termasuk perakaunan, kewangan, automotif, maritim, minyak & gas, mekatronik dan elektrik & elektronik.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Yayasan Peneraju juga telah mula menceburi program teknologi baharu seperti blockchain, keselamatan siber, pengkomputeran awan, pembangunan perisian, kejuruteraan data dan saintis data yang didorong permintaan tinggi dalam pasaran buruh.

Yayasan Peneraju komited untuk memacu dan memperkasa agenda Bumiputera dan telah memperluaskan programnya mengikut permintaan pasaran bagi memastikan kumpulan sasar menjadi lebih inklusif selaras dengan dasar utama negara seperti RMK12 dan TPB2030.

Yayasan Peneraju optimis dengan pengalaman luas Dr Abdul Latiff, bersama majlis penasihat industri mereka, rakan strategik, pengurus program & rakan kongsi serta institusi pengajian, agar program masa depan yang akan dilaksanakan kelak terus memenuhi permintaan industri dan menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada bakat Bumiputera.

Untuk maklumat lanjut mengenai pembiayaan yang ditawarkan, sila layari www.yayasanpeneraju.com.my atau www.facebook.com/yayasanpeneraju.

Previous post Covid Injection Secret Ingredients | UK Scientists confirm Graphene and New Zealand Scientists confirm Nanotechnology; What’s The Aim?
Next post Bank Dunia jangka krisis kewangan bertambah teruk tahun ini