KUALA LUMPUR, 11 Mei – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.0 peratus dalam mesyuarat MPC, hari ini.
Dalam kenyataan yang dipetik menerusi laman sesawang rasmi BNM, kadar tertinggi dan terendah OPR pula ditetapkan pada 2.25 peratus dan 1.75 peratus.
Pembukaan semula ekonomi global yang berterusan selain keadaan pasaran kerja yang bertambah baik terus menyokong pemulihan ekonomi. Keadaan ini membantu mengurangkan sebahagian daripada kesan konflik kententeraan di Ukraine dan langkah-langkah pembendungan yang ketat dilaksanakan oleh China.
“Tekanan inflasi telah meningkat secara mendadak disebabkan oleh kenaikan harga komoditi, rantaian bekalan yang tertekan dan keadaan permintaan yang kukuh, khususnya di Amerika Syarikat. Kesannya, beberapa bank pusat dijangka membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka pada kadar yang lebih pantas bagi mengurangkan risiko inflasi.
“Prospek pertumbuhan global akan terus dipengaruhi oleh perkembangan berhubung dengan konflik di Ukraine, COVID-19, keadaan rantaian bekalan global, kejutan harga komoditi dan volatiliti pasaran kewangan,” kata kenyataan itu yang turut dikongsi di facebook rasmi BNM.
Manakala bagi ekonomi Malaysia, BNM memaklumkan penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan yang lebih kukuh, didorong oleh permintaan dalam negeri yang lebih mantap dalam keadaan pertumbuhan eksport yang mampan.
Selain itu, pasaran pekerja terus disokong oleh kadar pengangguran yang lebih rendah, penyertaan tenaga kerja yang lebih tinggi dan prospek pendapatan yang lebih baik.
“Peralihan ke fasa endemik pada 1 April 2022 akan memperkukuh kegiatan ekonomi, sejajar dengan pelonggaran sekatan selanjutnya dan pembukaan semula sempadan antarabangsa. Aktiviti dan prospek pelaburan juga bertambah baik, disokong oleh realisasi projek berbilang tahun dan prospek pertumbuhan yang positif.
“Walau bagaimanapun, risiko terhadap pertumbuhan masih wujud, termasuk pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang berterusan, gangguan rantaian bekalan yang bertambah teruk dan perkembangan buruk berhubung dengan COVID-19,” tambah BNM lagi.
Menurut BNM, inflasi keseluruhan diunjurkan berpurata antara 2.2% hingga 3.2% pada tahun 2022. Memandangkan peningkatan kegiatan ekonomi dalam keadaan tekanan kos yang berlarutan, inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras dijangka meningkat untuk mencatatkan purata antara 2.0% hingga 3.0% pada tahun yang sama.
Walau bagaimanapun, tekanan harga menaik akan dibendung sebahagiannya oleh kawalan harga yang sedia ada dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.
“Prospek inflasi terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global yang berpunca terutamanya daripada konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine serta gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan, di samping langkah-langkah dasar dalam negeri mengenai harga yang ditadbir.”
Sepanjang krisis COVID-19, BNM memaklumkan kadar OPR dikurangkan sebanyak 125 mata asas secara kumulatif kepada paras terendah yang belum pernah dicatatkan sebelum ini, iaitu 1.75 peratus, bagi memberikan sokongan terhadap ekonomi.
“Keadaan pandemik yang pertama kali berlaku sehingga memerlukan tindakan sedemikian kini telahpun reda. Dengan pertumbuhan dalam negeri yang semakin kukuh, MPC mengambil keputusan untuk mula mengurangkan tahap akomodasi monetari.
Pengurangan ini akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil,” jelas BNM.