KEMENANGAN kes saman 3 juta Tati Skincare terhadap seorang blogger yang mengeluarkan artikel berunsur fitnah terhadap produk syarikat kecantikan terkenal di Malaysia itu secara tidak langsung telah menaikkan semula reputasi di kalangan pengguna setia dan masyarakat.

Selain itu, kes ini juga boleh dijadikan sebagai pengajaran yang berguna kepada golongan penulis blog supaya berhati-hati dalam setiap apa yang ditulis di dalam blog mereka.

Berikutan kemenangan kes saman fitnah tersebut, keempat-empat pengasas jenama itu iaitu Nurhayati Hashima Muhammad, Tanti Rahayu Abdul Halim, Wan Maridana Najib dan Norhasikin Muhammad bersama peguam syarikat, Md. Faiez Md. Suhaimi telah mengadakan satu sidang media khas pada 29 November 2018 bertempat di Flora Terrace, Kuala Lumpur.

Salah seorang pengasas, Norhasikin Muhammad memberitahu, beliau bersama pengasas yang lain menzahirkan rasa lega dan bersyukur atas keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Beliau juga berharap agar keputusan ini menjadi pengajaran buat netizen di luar sana agar tidak sama sekali menulis perkara-perkara yang tidak benar.

“Pihak pengurusan Tati Skincare ada menyediakan saluran untuk pengguna menyalurkan sebarang pertanyaan atau pertanyaan di laman web mereka serta di platform media sosial seperti Facebook dan Instagram,” kata beliau.

Norhasikin menjelaskan, antara fitnah yang dimuat naik dalam bentuk penulisan artikel oleh penulis tersebut adalah dengan mengatakan produk keluaran mereka merupakan produk timbang kilo.

Isu tersebut akui Norashikin secara tidak langsung telah menjejaskan reputasi jenama kosmetik berkenaan serta nama baiknya dan tiga lagi pengasas yang bergelar usahawan.

“Sejak Januari 2017, pihak defendan telah memuat naik artikel fitnah terhadap pengasas-pengasas Tati Skincare dan juga menyebarkan tuduhan tidak berasas yang memburukkan produk kami.

“Lebih teruk, artikel yang ditulisnya bukan satu atau dua, tetapi sehingga berbelas-belas artikel.

“Biarpun kami sudah pun memberi ruang dan peluang kepadanya untuk menurunkan kesemua artikel tersebut, namun diendahkan begitu sahaja,” katanya.

Disebabkan kedegilan penulis terbabit, kesemua pengasas bertindak memfailkan saman pada May 2017.

Akhirnya, pada 22 November lalu, kemenangan berpihak kepada Tati Skincare yang berjaya dalam tuntutan ganti rugi sebanyak RM3 juta.

Tati Skincare kini telah berada di pasaran hampir 4 tahun sejak ia mula dilancarkan pada 2015. Sehingga kini, produk Tati Skincare turut dipasarkan ke luar negara seperti Singapura dan Brunei. Tati Skincare telah mengeluarkan 11 rangkaian produk termasuk kosmetik, antaranya krim pemutih, gincu, maskara dan bedak kompak.

 

Previous post Terengganu Perkenal Hotel Pertama Patuh Syariah
Next post Gadis OKU cipta nama dengan kuih bulan