PAPAR – Kerajaan tidak membiarkan rakyat bersendirian berdepan isu kos sara hidup sebaliknya turut bersama mencari jalan untuk membantu meringankan beban yang ditanggung ketika ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ini merupakan antara cabaran berisiko tinggi yang dihadapi masyarakat dunia pada hari ini yang terpaksa berdepan dengan peningkatan harga barang dan sebagainya.
“Namun pada masa sama, kerajaan tidak menyerahkan bulat-bulat rakyat berhadapan dengan isu permintaan dan penawaran, harga barang yang meningkat, rakyat tidak dibiarkan begitu saja.
“Kita sentiasa mencari ikhtiar, sama ada program berbentuk mitigasi atau intervensi untuk kita membantu menyelesaikan isu-isu kos sara hidup bagi mengurangkan beban rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas menyempurnakan program SIM@PAX Hari Raya Aidilfitri Serta Ikhlas Ramadan Bersama Gas Petronas di Dewan Terbuka Tapak Tamu Mingguan Papar, di sini pada Sabtu.
Tambah Ahli Parlimen Papar itu lagi, isu kos sara hidup bukan hanya di Malaysia tetapi merupakan isu yang turut dihadapi masyarakat di peringkat global.
“Di mana-mana negara di dunia, masyarakat berhadapan dengan isu inflasi, begitu juga dengan isu kos sara hidup ini.
“Jadi saya ingin memaklumkan bahawa sebagai kerajaan, baik di Persekutuan mahupun negeri sentiasa komited untuk membantu mencari ikhtiar bagi menangani isu kos sara hidup,” katanya.

Armizan turut memberikan pelbagai contoh program bantuan tunai yang sedang dilaksanakan kerajaan bukan saja di peringkat Persekutuan tetapi juga di negeri.
“Di peringkat Persekutuan, terdapat program Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kita ada Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan di peringkat negeri juga tidak lepas tangan apabila kerajaan negeri berjaya meningkatkan hasil kerajaan negeri.
“Seterusnya kerajaan negeri memperkenalkan program baharu iaitu Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) di mana ketua isi rumah (KIR) yang disenarai e-Kasih layak menerima RM300 secara bulanan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi membidas pihak yang menjadikan isu bantuan sebagai modal politik dengan mempertikaikan program yang dilaksanakan kerajaan hari ini.
“Ada orang kata pilih kasih, pilih yang ada e-kasih saja, dulu tiada begitu. Jadi bulan Ramadan ini kurangkan fitnah itu, sebaliknya bersyukurlah kita atas bantuan yang diberikan.
“Kita mulakan dengan mereka yang betul-betul memerlukan bantuan, mereka yang berpendapatan isi rumah bulanan kurang daripada RM2,500 ke bawah dan kerajaan negeri belanjakan bukan hanya RM300 tapi sebanyak RM358.5 juta untuk bagi bantuan SYUKUR ini.
“Bagi saya yang paling penting kalau dulu tidak buat, hari ini kita rintis mulakan. Jadi, kalau orang cuba politikkan kenapa pilih kasih, kenapa sedikit. Bagi saya, kita tanya mereka dulu, apa mereka bagi, itu saja jawapan yang mudah,” jelasnya.
Sumber: Sinar Harian