KUALA LUMPUR: Susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai Bantuan Khas Covid-19 (BKC) hari ini, Kementerian Kewangan telah menyalurkan peruntukan berkenaan kepada pihak bank pada hari sama untuk diproses.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Fasa 1 BKC yang memanfaatkan 4.4 juta isi rumah, 1.1 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 4.5 juta individu bujang akan dibayar secara berperingkat mulai 6 September 2021 (Isnin).

“Bagi penerima B40 bayaran akan dikreditkan mulai Isnin depan dan bagi penerima M40 membabitkan peruntukan berjumlah RM3.1 bilion, bayaran akan dibuat mulai 9 September 2021 (Khamis),” katanya dalam pembentangan Laporan Laksana ke-66 yang disiarkan secara langsung di laman Facebooknya, hari ini.

Menurutnya, bagi mereka yang tidak mempunyai akaun, bayaran akan dibuat mulai 6 September.

“Bagi isi rumah B40 termasuk miskin tegar yang berpendapatan kurang RM5,000, bayaran sebanyak RM500 akan dikreditkan, manakala individu bujang/warga emas termasuk miskin tegar berpendapatan kurang RM2,500, akan menerima RM200.

“Bagi isi rumah M40 berpendapatan antara RM5,001 hingga RM9,000, bayaran sebanyak RM250 akan dikreditkan manakala, individu bujang/warga emas berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000 akan menerima RM100,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, bayaran BKC dijadualkan dibuat pada September, November dan Disember tahun ini.

Sumber: Harian Metro

Previous post Grant Cardone, Jutawan Yang Penuh Inspirasi
Next post Mahadhir dilantik sebagai CEO MDEC baharu