KUALA LUMPUR, 26 Jan – Datuk Seri Anwar Ibrahim memainkan peranan penting dalam mempelopori penubuhan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sejak dilancarkan pada 17 September 1987 ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan sehingga ke wujud hingga ke hari ini.
Keberkesanan AIM cetusan Perdana Menteri menarik perhatian global termasuk Prof. Muhammad Yunus, penerima Hadiah Nobel Keamanan yang memperkenalkan konsep mikro-kredit di Bangladesh untuk diaplikasi AIM di Malaysia.
Pengiktirafannya terhadap peranan AIM sebagai model yang berjaya dalam memberdayakan golongan miskin melalui akses kepada modal menjadi sebutan ramai pada sesi plenari Sidang Kemuncak Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland baru-baru ini.

Dengan tajuk ‘ASEAN: Even Stronger Together’, beliau secara terbuka mengangkat sumbangan Anwar dalam penubuhan AIM sebagai contoh kejayaan inovatif dalam usaha membasmi kemiskinan di negara-negara membangun.
Kejayaan AIM mencerminkan komitmen Malaysia dalam merancang dan melaksanakan inisiatif yang memanfaatkan potensi komuniti miskin, sekaligus memberi impak positif dalam menoktahkan kemiskinan di negara ini.
Ini merupakan satu bukti hidup betapa komitednya Anwar dalam mengangkat martabat kumpulan rentan miskin di negara ini hingga menjadi contoh kepada sahabatnya sendiri.
AIM merupakan inisiatif bersasar bertujuan untuk memberikan akses pembiayaan mikro kepada golongan miskin terutamanya di kawasan pinggir dan luar bandar bagi memperbaiki taraf hidup mereka.
Dengan visi untuk membasmi kemiskinan melalui pemberdayaan ekonomi, Anwar mengetuai usaha untuk melibatkan masyarakat miskin dalam aktiviti ekonomi yang produktif sekali gus memastikan peserta mampu membayar kembali pinjaman yang diberikan.
Melalui AIM, golongan ini diberikan pinjaman tanpa cagaran untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan kecil serta dibekalkan dengan latihan kemahiran dan sokongan teknikal.
Pendekatan ini terbukti berjaya dalam meningkatkan kesejahteraan sosial dan ekonomi penerima manfaat. Kejayaan AIM tidak hanya memberikan impak positif terhadap individu yang terlibat, tetapi juga memperlihatkan keberkesanan model mikro-kredit dalam membasmi kemiskinan.
Lebih awal dari itu lagi, pada tahun 1974, Anwar selaku pemimpin mahasiswa bergerak ke Baling, berdemonstrasi membela nasib pekebun kecil getah yang miskin, terhimpit kerana kejatuhan harga getah ketika itu.
Melalui penubuhan Bank Grameen di Bangladesh, Prof Muhammad telah berjaya mengeluarkan beribu-ribu orang dari kelompok miskin tegar dan angka berkenaan terus meningkat.
Usai itu, sewaktu menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 1987, Anwar telah mengarahkan Universiti Sains Malaysia (USM, pada ketika itu IPTA berada di bawah KPM) untuk melakukan kajian berkaitan kesesuaian konsep Bank Grameen ini lalu wujudlah AIM pada tahun sama.
Malah ketika beliau sebagai Menteri Pertanian, Anwar menggerakkan aktiviti Pasar Tani yang bertujuan memerangi penindasan orang tengah terhadap golongan petani miskin di luar bandar. Ini berlaku pada tahun 1985.
Sebab itu pada 2022 dalam buku ‘Membangun Negara Madani’, beliau memberikan takrifan beliau sendiri berkaitan IHSAN iaitu perasaan ihsan itu adalah soal menyelami penderitaan dan kemelaratan orang lain, lalu berusaha untuk mencari jalan bagi mengubatinya.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata berdasarkan penilaiannya, Malaysia sudah dipulihkan dari sudut pendapatan negara dan pelaburan malah Perdana Menteri berjaya membawa perubahan kewangan yang lebih lestari.
“Kalau kita lihat beberapa Belanjawan sebelum ini Perdana Menteri berjaya meningkatkan pendapatan negara dan subsidi. Pada masa sama mengurangkan defisit menunjukkan bahawa ini adalah antara indikator kejayaan beliau dalam pengurusan kewangan negara.
“Dari sudut antarabangsa, Perdana Menteri berjaya meningkatkan imej Malaysia dan berjaya menghasilkan hubungan lebih bermakna, lebih erat dengan negara-negara seterusnya meningkatkan perdagangan dan pelaburan asing yang masuk ke Malaysia,” katanya.

Maka benarlah apa yang pernah diungkapkan bahawa nukilan beliau dalam buku Membangun Negara MADANI bahawasanya: Kerangka MADANI merupakan kemuncak kepada pengalaman selama empat dekad dalam perkhidmatan awam dan belasan tahun yang dihabiskan bagi memikirkan tentang negara ini dan masa hadapannya.
Jelas sekali, pengiktirafan pemimpin dunia ketiga seperti Prof Muhammad terhadap AIM yang kini menjana ekonomi puluhan ribu rakyat Malaysia amat dibanggakan malah menjadi model kepada Bangladesh sehingga kini.
Dengan dana dari Tabung Ikhtiar inilah AIM mengeluarkan pembiayaan kepada wanita-wanita yang dihimpit kemiskinan hidup terutama selepas krisis Teluk era 1980-an.
Wanita-wanita yang mahu keluar dari kepompong kemiskinan dan ibu-ibu yang mahu memastikan anak-anak mereka dapat bersekolah dengan baik.
Melalui usaha Anwar ini akhirnya wanita-wanita ini menjadi Sahabat AIM dan berupaya memulakan perniagaan kecil-kecilan untuk menjana pendapatan keluarga hingga berjaya keluar dari garis kemiskinan dalam tempoh dua tahun.
Malah sudah pasti Anwar mahu melihat AIM yang amat istimewa di hatinya, terus berdaya maju membantu rakyat bermula dengan peruntukan sebanyak RM200 juta kepada agensi itu pada 1990-an ketika menjadi Menteri Kewangan pada 1993. – Harapan Madani