KOTA TINGGI: Pengalaman dikejar ah long selepas terpedaya dengan pinjaman wang tidak berlesen menjadi pembakar semangat seorang wanita untuk bangkit membina perniagaan baharu.

Mengimbas kembali kisah berkenaan, Norkhamariah Wahab, 31, memberitahu, pengalaman pahit itu dilalui ketika mula membuka perniagaan butik yang diceburinya sebelum ini.

Katanya, kejadian itu menyebabkan keluarga terutama suami berasa malu dengan tindakan terbabit, namun menjadi pengajaran terbaik dan paling berguna dalam hidupnya.

“Masa itu saya memang tidak tahu ia adalah pinjaman ah long kerana mereka tawarkan pinjaman dengan logo agensi kerajaan yang menyebabkan saya tertarik. Namun tak sangka pula ia adalah ah long kerana apabila tak dapat bayar, mereka mula mencari saya.

“Ketika itu suami tidak tahu saya buat pinjaman berkenaan dan lebih menyedihkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula mula dilaksanakan ketika itu mengakibatkan perniagaan butik saya tiada keuntungan,” katanya mencurahkan pengalaman kepada wartawan Utusan Malaysia ketika ditemui semalam.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia bertekad mengambil keputusan menjual butiknya yang dijadikan modal bagi membuka perniagaan berasaskan makanan dikenali sebagai Khayra’s Food.

Katanya, pembukaan perniagaannya itu mengambil kira situasi semasa masyarakat yang lebih mengutamakan makanan sebagai keperluan asas ketika PKP melanda.

Jelasnya, Khayra’s Food kini muncul dengan produk utama iaitu corn dough yang merupakan makanan ala korea tetapi diubah suai mengikut citarasa masyarakat Malaysia.

“Saya pelajari menu ini dari kelas dalam talian tetapi dari cef yang memang dari Korea. Bila buat corn dough ini, saya lihat anaklah yang paling suka jadi terus menjadi pencetus untuk buka bisnes.

“Nama Khayra’s Food ini diambil sempena nama anak bongsu saya Khayra yang sangat memberi inspirasi dan semangat sepanjang saya membangunkan perniagaan ini.

“Alhamdulillah, kini corn dough kami menampilkan tujuh perisa yang dipasarkan di hampir seluruh Malaysia termasuk Singapura dan kami adalah pengeluar terbesar corn dough bagi Johor,” katanya.

Tambah Norkhamariah yang memasang impian menjadi pengeluar terbesar di Malaysia, dia kini mempunyai seramai 28 kakitangan termasuk di bahagian pembuatan di kilangnya yang mampu menghasilkan 3,000 batang corn dough setiap hari untuk dipasarkan.

Malah, dia bersyukur kerana menerima bantuan pelbagai agensi seperti Pejabat Pertanian Daerah Kota Tinggi, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara, Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan dan Majlis Amanah Rakyat.

Sumber: Utusan Malaysia

Previous post Buku ‘Harry Potter’ edisi pertama dijual pada harga rekod dunia RM1.98 juta
Next post Masalah perumahan bagi penduduk bandar yang tidak berkemampuan