KUALA LUMPUR, 25 Mac – Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turun padang menyampaikan sumbangan tunai berserta bakul makanan Rahmah kepada 200 penerima dari kalangan golongan kurang berkemampuan di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak turut mengagihkan sumbangan bubur lambuk kepada orang ramai dan komuniti setempat.
Wan Azizah berkata, program tersebut bukan sahaja menjadi platform menyantuni masyarakat malah dapat mengeratkan silaturahim komuniti di Bandar Tun Razak.

“Aktiviti gotong-royong memasak dan mengagihkan bubur lambuk ini mengembalikan nostalgia amalan tradisi yang penuh dengan nilai murni dan semangat kekeluargaan.
“Sempena bulan Ramadan yang mulia ini juga, marilah kita sama-sama menginsafi diri dan memperingati golongan yang memerlukan. Sesungguhnya, Ramadan mengajar kita erti kesabaran, keikhlasan dan keprihatinan terhadap sesama insan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Sumbangan Kasih MADANI dan Pengagihan Bubur Lambuk di Surau Al-Mustaqimah, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Wan Azizah berharap, sumbangan kecil yang disalurkan itu sedikit sebanyak mampu meringankan beban sahabat-sahabat yang memerlukan, dan memberi kegembiraan buat mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

“Pada penghujung Ramadan yang penuh keberkatan ini, saya menyeru diri saya dan semua yang hadir agar melipatgandakan amalan kebaikan, dan ibadah untuk bersama-sama mengejar ganjaran pahala,” tegas beliau sambil mendoakan agar semua sahabat sukarelawan yang meluangkan masa membantu menjayakan program memperoleh ganjaran kebaikan di dunia dan di akhirat.

Turut hadir dalam majlis itu dan menyampaikan ucapan alu-aluan adalah Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri, YBhg Datuk Azman Abidin dan Pegawai Tadbir Agama Zon 5, YBrs Ustaz Khalil.