BUKIT KAYU HITAM, 3 Mei – Setiap projek pembinaan infrastruktur, baik jalan raya mahupun bangunan seharusnya menjadi solusi permasalahan dan menjadi pemangkin kepada limpahan manfaat yang boleh dinikmati bukan sahaja rakyat setempat, malah kepada negeri dan negara.
Projek pembinaan jalan raya dari ICQS Bukit Kayu Hitam ke CIQ Sadao, Thailand adalah salah satu contoh terbaik.
Bertitik tolak dari persetujuan dan tinjauan bersama YAB Perdana Menteri Malaysia dan mantan Perdana Menteri Thailand ke tapak pembinaan pada 2023, kerja-kerja pembinaan projek ini telah dilaksanakan dengan agresif bagi memastikan jalan raya yang menjadi pintu keluar masuk utama perdagangan dan pelancongan dua hala di antara kedua-dua negara dapat disiapkan mengikut jadual.
Tentunya, projek ini bukan sekadar membina jalan, tetapi ia simbol komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh infrastruktur sempadan negara.

Dengan nilai kontrak RM141.58 juta, projek ini dijangka siap pada September 2025, dan sehingga akhir April ini, kemajuannya telah mencapai 47 peratus.
Antara skop utama yang sedang giat dilaksanakan termasuklah:
Pembinaan jalan berkembar 6 lorong sepanjang 900 meter.
Pembinaan jalan perkhidmatan ke Markas Taktikal PGA.
Penggantian 10 blok bangunan lama Kem Batalion ke-5 Rejimen Sempadan.
Pembinaan Pos Kawalan Akhir dan Pintu Gerbang Berbumbung.
Meskipun projek membina jalan raya ini dimiliki oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), sebagai agensi teknikal pelaksana yang dilantik, saya telah menegaskan kepada pihak JKR dan kontraktor agar memastikan projek ini siap mengikut spesifikasi kualiti, kos dan masa — selari dengan amanat YAB PM: “Ke arah Sifar Projek Sakit.”
Di program sama, saya turut ditanya media mengenai isu pembinaan lebuhraya MEX 2.
KKR mengambil maklum dan serius terhadap isu yang sedang berlaku berkaitan projek MEX 2.
Buat masa ini, satu mesyuarat khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi menentukan hala tuju projek ini.
Projek ini berada dalam senarai keutamaan KKR untuk diselesaikan. Walaupun berdepan beberapa isu dalaman di pihak MEX 2 sendiri, kementerian sedang meneliti semua langkah yang sesuai bagi memastikan projek ini dapat disiapkan.
Libat urus secara berterusan antara kementerian dan pihak-pihak berkaitan sedang berlangsung, demi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk kepentingan rakyat dan negara.
Dato Sri Alexander Nanti Linggi,
Menteri Kerja Raya
3 MEI 2025