PERBADANAN Usahawan Nasional Berhad (PUNB) berjaya menyalurkan 75 peratus daripada RM200 juta pembiayaan yang diperuntukkan kepada usahawan Bumiputera bagi tahun 2019 setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Izwan Zainuddin berkata, usahawan sektor automotif serta makanan dan minuman (F&B) merupakan dua kumpulan penerima terbesar daripada jumlah pembiayaan tersebut.

“Kita yakin dapat meluluskan baki peruntukan pembiayaan yang disediakan kepada usahawan layak menjelang akhir tahun ini.

“Menerusi Belanjawan 2020, PUNB diperuntukkan RM150 juta lagi, selain tambahan dana dalaman kami, oleh itu, kami akan meneruskan usaha membantu usahawan bumiputera,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Simposium Peruncitan Kebangsaan (SParK) 2019 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi PUNB, Datuk Hazimah Zainuddin.

PENGERUSI PUNB, Datuk Hazimah Zainuddin (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin pada majlis pembukaan Simposium Peruncitan Kebangsaan (Spark 2019) di Kuala Lumpur Convention Centre. Foto Berita Harian Online

Simposium yang mula diperkenalkan pada 2013 itu bertujuan untuk memupuk dan mempertingkatkan pembudayaan keusahawanan dalam kalangan usahawan Bumiputera.

Mengulas lanjut, Izwan berkata, pihaknya juga menerima peruntukan berjumlah RM150 juta lagi untuk tujuan pembiayaan sama pada tahun depan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2020.

“Selain peruntukan itu, PUNB juga akan sokong penyaluran pembiayaan menerusi dana dalaman kami untuk terus membantu usahawan Bumiputera,” katanya.

Mengenai prestasi usahawan bumiputera di bawah skim tersebut, Izwan berkata mereka mencatatkan kemajuan yang baik dan menunjukkan banyak peningkatan dengan memanfaatkan dana yang disalurkan.

Bagi masa akan datang, beliau berkata PUNB akan kekal menumpukan sektor runcit dan borong.

“Kami juga melaksanakan beberapa usaha untuk memperkasakan usahawan bumiputera. Ia akan diumumkan kemudian,” katanya.

Sumber: Niaga Times, Harian Metro, Berita Harian Online

Ren Zhengfei Huawei - SUKSES News Previous post HUAWEI jangka jual 270 juta unit telefon pintar sepanjang 2019
pengarah urusan beras juara Next post 15 tahun beras “Juara” tambat hati rakyat Malaysia