BAITULMAQDIS: Pihak berkuasa negara tidak diiktiraf Israel bertindak menutup beberapa pertubuhan Palestin termasuk saluran televisyen, semalam.

Seorang pegawai yang tidak mahu dikenali berkata, Pejabat Palestin TV iaitu saluran yang dibiayai oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan Kementerian Pendidikan Palestin juga diarah untuk tutup selama enam bulan.

Pada masa sama, Pengarah Syarikat al-Araz yang mengendalikan Palestin TV dan wartawan bagi saluran berkenaan ditahan dan dipanggil untuk disoal siasat.

Menteri Keselamatan Awam Israel, Gilad Erdan mengesahkan, penutupan pejabat yang digunakan oleh Palestin TV dan Kementerian Pendidikan itu.

“Saya akan berterusan bertindak tegas terhadap percubaan oleh Pihak Berkuasa Palestin untuk melanggar kedaulatan di ibu negara,” katanya.

Erdan menuduh, Palestin TV menghasilkan kandungan anti-Israel di mana negara yang tidak diiktiraf komuniti dunia itu bertanggungjawab ke atas jenayah perang dan pembersihan etnik.

Dalam pada itu, Palestin mengutuk tindakan penutupan berkenaan.

“Ini merupakan kesinambungan kempen Israel terhadap semua penduduk Palestin di Baitulmaqdis,” kata pegawai kanan, Hanan Ashrawi.

Pertubuhan Palestin yang membela kebebasan bersuara berkata, penutupan itu adalah sebahagian daripada usaha Israel untuk menjatuhkan media dan menghalang kisah rakyat Palestin daripada tersebar melalui rangkaian penindasan terhadap media dan wartawan.- Agensi

Previous post Punca Produktiviti Pekerja Terjejas
Next post Langkah keselamatan mengelak WhatsApp digodam