
Dewan Perniagaan Wanita Islam Malaysia lancar projek kerjasama iGOLDAX-iMAS-sustNET
Dewan Perniagaan Wanita Islam Malaysia atau singkatannya DEWI telah melancarkan projek iGOLDAX -iMAS-sustNET pada Majlis berbuka puasa bersama media dan sidang media yang diadakan di pejabat Ifintech Solutions Sdn Bhd.
Pengerusi Kehormat DEWI, Datin Ras Ali bersama Dr Norsaidatul dan duta undangan DEWI, Dai Syed serta Raja Azrul turut hadir memperkenalkan projek kerjasama ini.

Projek ini diadakan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai berkaitan hal digital, E wallet, kepentingan menyimpan emas sebagai aset masa depan dan memanfaatkan teknologi terkini.
Menerusi DEWI, pelbagai projek bagi memperkasa para wanita Islam khususnya melalui Wanita Digital (WADI Tijara dan WADI Afiyah) akan diadakan dan DEWI turut menubuhkan Biro Dewi Remaja di mana ahli yang berumur bermula dari 15 hingga ke 18 tahun berpeluang mendapat pendedahan awal berkenaan perniagaan melalui DEWI.

Tumpuan utama diberikan untuk memberikan peluang kepada usahawan wanita Islam terhadap perniagaan barang kemas dan perhiasan, di samping menimbulkan kesedaran tentang kepentingan menyimpan emas dan penggunaan teknologi digital yang selaras dengan perkembangan zaman.
Pelbagai latihan keusahawanan yang dipimpin para pakar bakal diadakan nanti bagi memperkasakan wanita Islam dengan ilmu dan kemahiran berkaitan projek ini.
Datin Ras Ali mengharapkan para wanita Islam yang berminat sama-sama menyertai DEWI dan belajar pelbagai ilmu berkaitan perniagaan emas menerusi platform DEWI ini.

Menerusi projek iGOLDAX dan iMAS, para peniaga boleh memanfaatkan hub produk perniagaan yang disediakan di sini di samping boleh berurus niaga untuk barangan kemas dan perhiasan menerusi platform digital ini. Hub ini terletak di Wisma Trax No 1 Jalan 5, off Jalan Chan Sow Lin 55200 Kuala Lumpur.
Bersempena dengan hari raya Aidilfitri nanti juga menerusi projek ini akan dikeluarkan duit raya digital yang boleh diberikan sewaktu musim Raya Aidilfitri nanti.
Duit raya digital ini sekaligus menyahut cabaran alam teknologi digital kontemporari dan mengikut arus perkembangan zaman.
