Reka bentuk pasangan tersebut memenangi hadiah wang tunai RM10,000.00

KUALA LUMPUR, 3 Mei 2021 – Pasukan suami isteri, Encik Jaihar Jailani Ismail dan Puan Noor Syahidah Abdullah telah memenangi hadiah pertama TRANSEAT – Pertandingan Reka Bentuk Bangku Stesen Bawah Tanah MRT Laluan Putrajaya, dan membawa pulang wang hadiah berjumlah RM10,000.

Reka bentuk bangku kemenangan mereka, INFINITY, yang juga merupakan nama yang diberi oleh pasangan pereka industri dan akademik bebas dari Johor Bahru kepada pasukan mereka, dibuat untuk melengkapkan reka bentuk seni bina stesen MRT Laluan Putrajaya.

Bangku tersebut bakal dipasang di platform lapan stesen bawah tanah di sepanjang jajaran.

Pemenang-pemenang TRANSEAT telah diumumkan dalam upacara sederhana yang diadakan di ibu pejabat Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim telah menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Projek MRT Laluan Putrajaya MRT Corp, Dato’ Amiruddin Ma’aris, Pengarah Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) Encik Sulaiman Arshad dan Naib Presiden Persatuan Pereka Perindustrian Malaysia (PEREKA) Encik Zafri Zakaria Merican. MRM adalah kolaborator pertandingan sementara PEREKA adalah penyokong.

TRANSEAT, yang berlangsung dari 1 Jun 2020 hingga 30 Julai 2020, telah menyaksikan keseluruhan penyerahan 569 reka bentuk daripada 352 peserta. Para peserta terdiri di kalangan profesional, pelajar dan juga orang awam.

Pertandingan ini dianjurkan oleh MRT Corp untuk mencari reka bentuk terbaik yang boleh diterima pakai untuk bangku di lapan stesen bawah tanah MRT Laluan Putrajaya dengan memanfaatkan bakat dan kreativiti rakyat Malaysia.

Mengulas kemenangan mereka, Jaihar dan Syahidah mengucapkan terima kasih kepada MRT Corp, MRM dan PEREKA di atas peluang untuk mengemukakan idea dan falsafah reka bentuk mereka, melalui penciptaan reka bentuk ‘Infinity Bench’.

“Infinity Bench adalah bangku inklusif sosial yang mempromosikan reka bentuk, seni dan budaya,” kata Jaihar. Reka bentuk oleh pereka industri bebas Jaihar dan ahli akademik Noor Syahidah juga mengambil kira banyak aspek fungsi yang diperlukan untuk bangku di stesen MRT.

Naib juara pertama ialah Encik Muhmmad Nazli Karamazaman dengan reka bentuk bangku motif kraf tradisionalnya yang memenangi hadiah wang tunai RM 7,000.00. Sementara itu, Encik Ng Wai How dan Cik Yap Qiang Mei, yang membentuk pasukan WHDY, mengambil tempat naib juara kedua. Reka bentuk bangku X-Seat mereka, berdasarkan tema “Vibrancy”, memenangi hadiah RM5,000.00.

Untuk kategori terbaik oleh pelajar, Encik Kamarul Azizi Kamarul Azhan, pelajar daripada Universiti Teknologi Malaysia, membawa pulang RM5,000 untuk reka bentuknya Koreusi. Reka bentuknya berdasarkan tema “Moulding Forms “.

Mengulas mengenai pertandingan itu, Amiruddin mengatakan sambutan yang diterima adalah amat menggalakkan, dan tahap kreativiti penyertaan juga adalah tinggi.

“Reka bentuk yang telah diterima menunjukkan bahawa terdapat banyak bakat di kalangan rakyat Malaysia. Saya amat gembira kerana Pertandingan Reka Bentuk Bangku bagi stesen bawah tanah MRT Laluan Putrajaya telah menyediakan platform yang baik bagi minda kreatif tempatan kita untuk menunjukkan bakat mereka,” kata Amiruddin.

Beliau menambah bahawa pereka yang menang berjaya menggabungkan elemen estetika, kepraktisan dan fungsi.

“Dalam menentukan pemenang pertandingan ini, adalah penting agar reka bentuknya selamat, kukuh dan kuat untuk kegunaan lasak di stesen MRT yang sibuk. Reka bentuk yang dicadangkan mesti mempunyai ciri-ciri utama ini,” tambah Amiruddin.

Peringkat pertama penilaian telah menyenarai pendekkan 10 reka bentuk daripada 569 reka bentuk yang dihantar, berdasarkan skor gabungan panel hakim daripada MRT Corp, MRM, PEREKA dan MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd, selaku kontraktor serah kunci MRT Laluan Putrajaya, dan juga dari tinjauan pendapat dalam talian di kalangan pekerja MRT Corp.

Pusingan akhir penilaian kemudiannya telah diadakan pada 15 Disember 2020 di Dewan Inovatif MRM di Bukit Jalil, di mana para finalis telah memberi taklimat mengenai reka bentuk mereka kepada panel hakim.

Pertandingan Reka Bentuk Bangku bagi stesen bawah tanah MRT Laluan Putrajaya ini adalah yang kedua dianjurkan oleh MRT Corp. Pertandingan Reka Bentuk Bangku pertama telah diadakan pada tahun 2015 untuk stesen bawah tanah MRT Laluan Kajang.

Reka bentuk bangku yang menang akan dipasang di lapan stesen bawah tanah MRT Laluan Putrajaya.

Sumber : MRT

Previous post Penangguhan kenaikan kadar tol tahun 2021
Next post Pelantar minyak Velesto ‘Naga 7’ tenggelam, 101 krew selamat