31 Ogos 2021, Selangor – Tahun ini genap 64 tahun Negara mencapai kemerdekaan. Banyak teladan dan pengajaran ditinggalkan orang terdahulu untuk panduan generasi pada masa kini. Secara amnya, sambutan kemerdekaan dipenuhi dengan pengisian sejarah perjuangan, kenegaraan dan unsur patriotik.
Pengerusi Malaysian Community Care Foundation (MCC), Datuk Seri Halim Ishak mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada kepimpinan baharu kerajaan dengan harapan agar dapat memacu Malaysia ke arah lebih bersih khusunya merdeka daripada budaya rasuah yang kian membimbangkan apabila acapkali kita didengarkan dengan penangkapan terhadap individu-individu yang terlibat dengan perbuatan tidak bermoral ini khususnya penjawat awam dan golongan VIP.
Menurut Halim, ini semua berbalik kepada jati diri seseorang yang mana menjadi teras identiti dan lambang keperibadian seseorang individu dan juga sesuatu bangsa. Isu jati diri dalam kalangan generasi muda hari ini kian menjadi kebimbangan masyarakat. Hal ini lazimnya memandang generasi muda terkenal dengan sifat-sifat ingin mencuba sesuatu yang baharu dan mudah terikut-ikut seperti budaya K-Pop sehingga menjadi kegilaan generasi muda masa kini. Oleh itu, generasi muda ini perlu dibentuk dengan acuan yang sepatutnya kerana mereka ini merupakan generasi harapan bangsa yang bakal menerajui pada masa akan datang.
“Sentiasa menghargai perjuangan dan pengorbanan pahlawan-pahlawan dan tokoh-tokoh negara dalam memulakan proses pembinaan negara bangsa yang berjaya. Ini merupakan salah satu cara bagaimana kita menyemarakkan semangat patriotisme dan cinta kepada negara. Kita mencintai Malaysia dan tokoh-tokoh kemerdekaan yang berjaya menyelamatkan maruah tanah air daripada dirobek dan wajar bagi kita menghargai segala titisan darah, penat lelah serta jerih perih mereka,” tambah Halim lagi.
Halim juga berharap bahawa pemimpin masyarakat menyampaikan pandangan mengenai peristiwa-peristiwa bersejarah dan juga tokoh-tokoh yang telah diiktiraf kejayaan mereka di negara ini sebagai satu usaha pendidikan berterusan yang boleh dimanfaatkan dalam proses pembinaan negara bangsa dan jati diri rakyat Malaysia.
Akhir kata, jelas kemerdekaan sebenar bukan sahaja bebas penjajahan fizikal dan mental, tetapi juga membebaskan jiwa dan minda daripada perbuatan tidak bermoral seperti budaya rasuah. Akal juga perlu rasional menilai buruk baik sesuatu tindakan bagi mengelakkan keharmonian yang kita kecapi pada masa ini dibinasakan dengan politik kebencian dan rakyat Malaysia harus berpaksikan kepada lima prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.
‘Kita jaga komunti kita’. Selamat Hari Kebangsaan Ke-64 kepada seluruh rakyat Malaysia. Merdeka! Merdeka! Merdeka!
MALAYSIAN COMMUNITY CARE FOUNDATION
28 OGOS 2021