CYBERJAYA: Lembaga Pengarah Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), agensi yang menerajui transformasi negara, mengumumkan pelantikan Mahadhir Aziz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu, berkuatkuasa 1 September 2021.

Sebelum pelantikan ini, Mahadhir Aziz adalah pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Futurise sejak ia ditubuhkan pada 2017. Futurise, anak syarikat Cyberview sepenuhnya, merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan yang diberi mandat untuk mengawal selia Sandbox Negara (National Regulatory Sandbox (NRS).

Pada Mac 2020, Mahadhir dipilih sebagai ahli pengasas Agensi Pelaksanaan Ekonomi Dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) di bawah Kementerian Kewangan.

MDEC dalam satu kenyataan berkata, sebagai peneraju industri yang dikenali, Mahadhir mempunyai rekod cemerlang melebihi 20 tahun dalam pelbagai industri seperti Perkhidmatan Kewangan, Tenaga (Minyak dan Gas), Teknologi Maklumat dan Media, serta pernah berkhidmat di organisasi tempatan dan global seperti Deloitte Consulting, Kodak, PETRONAS dan AmInvestment Bank.

“Saya berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk menerajui MDEC, yang ketika ini sedang meraikan ulang tahun jubli perak dan 25 tahun dalam memacu pertumbuhan sektor ICT dan ekonomi digital negara. Saya bersedia untuk mengukuhkan lagi asas MDEC dan misi ‘Reinvent’ (cipta semula) sebelum ini dan bersedia untuk bekerjasama dengan pasukan yang berpengalaman di sini, dalam merealisasikan Rangka Kerja Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL). Fokus kini tertumpu ke arah pelaksanaan, pengembangan pelaburan dan penyampaian manfaat ekonomi digital kepada Rakyat.

“Objektifnya sangat jelas – untuk menjadikan Malaysia sebagai negara peneraju digital dan Nadi Digital ASEAN,” kata Mahadhir Aziz dalam kenyataan itu.

Berdasarkan mandat yang telah diamanahkan oleh Kementerian Kewangan, Mahadhir berkata, agenda pertamanya adalah untuk mengukuhkan peranan MDEC dalam merangka dasar ekonomi digital negara serta memacu impaknya secara keseluruhan.

Ini termasuk menilai semula cara MDEC beroperasi berdasarkan rangka kerja tadbir urus dalam memastikan program dan geran sampai kepada penerima yang disasarkan.

Selain itu, katanya, menyokong ekosistem dengan meningkatkan kecekapan operasi akan menjadi faktor penting dalam kejayaan ekonomi digital.

Sementara itu Pengerusi MDEC, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff pula berkata, Mahadhir ialah pemimpin yang disegani dan telah terbukti dalam memberikan impak penting terhadap organisasi terdahulu yang dipimpinnya. Berbekalkan latar belakang yang kuat dalam bidang teknologi dan digital, serta rekod prestasi cemerlang beliau dan diyakini mampu menerajui MDEC dalam memacu ekonomi digital negara, selari dengan aspirasinya dalam memastikan ia terus menyediakan peluang digital yang adil dan saksama kepada masyarakat, rakyat dan perniagaan menepati agenda Malaysia 5.0.

Sumber: Berita Harian

Previous post Bayaran BKC dibuat tiga kali tahun ini
Next post Murid 10 tahun cipta jualan RM5,000 sebulan