SAYA mohon supaya Negeri Terengganu memanfaatkan sepenuhnya kedudukan sebagai negeri tunggal yang berada pada fasa 3 Pelan Pemulihan Negara untuk menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dengan mengadakan kembali sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lebih panjang.

Sidang DUN pada 13-15 september baru-baru ini adalah sangat pendek dengan berjalan selama 3 hari dan hanya 4 jam iaitu dari pukul 9.30 pagi hingga 1 petang adalah tidak munasabah untuk wakil rakyat mengambil tempat untuk berbahas isu-isu yang melibatkan rakyat Terengganu.

Dengan pelbagai masalah yang dihadapi rakyat Terengganu sepanjang tempoh pandemik ini sudah pasti ramai wakil-wakil rakyat ingin menyuara serta memberi pandangan berdasarkan keadaan di tempat masing-masing . Rakyat juga ingin melihat wakil rakyat di tempat mereka menjalankan tanggungjawab dengan membawa permasalahan dan suara mereka di sidang DUN Terengganu.

Isu-isu melibatkan ekonomi Terengganu perlu diperbahaskan secara lebih holistik dengan penumpuan kepada memulihkan semula ekonomi rakyat samaada dari sudut mikro atau makro.

Geran-geran khas untuk membantu rakyat perlu disegerakan dalam memperlihatkan kesungguhan kerajaan negeri untuk membantu rakyat meningkatkan dan memulih semula ekonomi dan sara diri.

Kerajaan negeri juga perlu menubuhkan jawatankuasa khas dengan penglibatan pakar-pakar ekonomi dalam membantu mewujudkan peluang pekerjaan secara drastik dalam menangani masalah pengangguran yang semakin meningkat.

Pelbagai perkara perlu dibincangkan dan sudah tentu ia perlukan satu sidang DUN yang berkesan dan hasil perbahasan tersebut sudah pastinya adalah yang terbaik untuk dilaksanakan demi kepentingan seluruh rakyat negeri Terengganu.

Syaiful Irfan Anang
Pengerusi Perintis Bersatu Negeri Terengganu

Previous post RAHSIA DIA: Jodoh dan Ketentuan Allah SWT
Next post Kajian ketum pakar USM menang anugerah penyelidikan antarabangsa