KUALA LUMPUR – Media Prima Bhd mengumumkan pelantikan Samuel Wee sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan REV Media yang baharu, berkuat kuasa 1 Oktober lalu.

Menurut Media Prima dalam satu kenyataan hari ini, Wee menggantikan Rafiq Razali yang dilantik menjadi Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima pada 1 Oktober lalu.

Wee berpengalaman luas dalam industri media terutama perniagaan digital.

Beliau menyertai Media Prima pada 2017 sebagai Pengurus Besar Operasi Perniagaan Kumpulan REV Media yang dahulunya dikenali sebagai REV Asia Holdings iaitu anak syarikat Media Prima Digital dan seterusnya dilantik menjadi Ketua Pegawai Operasi pada tahun lalu.

Sebelum menyertai REV Asia, Wee antara pengasas REV Asia Holdings iaitu kumpulan media digital terkemuka di Malaysia membeli portal dalam talian seperti SAYS, OHBULAN! dan ViralCham bagi mempercepatkan pertumbuhan syarikat.

Beliau juga mengetuai perluasan perniagaan REV Asia Holdings ke Filipina, Indonesia dan Vietnam.

“Beliau memainkan peranan penting dalam perkembangan REV Media untuk menjadi penerbit digital nombor satu di Malaysia dan kini mewakili lebih 40 jenama ternama serta menjangkau 15 juta orang di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Mengulas pelantikan Wee, Rafiq berkata beliau amat berbesar hati mengumumkan mengenai perkara itu.

“Saya bekerja rapat dengan Sam (Wee) untuk menjadikan REV Media sebagai penerbit digital terkemuka di Malaysia.

“Beliau adalah pemimpin yang sangat berkebolehan dan mempunyai rekod pretasi yang mantap dalam industri.

“Sam begitu memahami budaya dan perniagaan REV Media dan saya percaya beliau akan membawa pasukan maju ke tahap seterusnya serta mencapai pertumbuhan yang lebih baik,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Previous post Kajian ketum pakar USM menang anugerah penyelidikan antarabangsa
Next post SUKE TV lantik Be Strategic sebagai agensi komunikasi pemasaran bersepadu