KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang baharu berkuat kuasa Jumaat lalu.

PUNB dalam kenyataan memaklumkan, Ahmad Nazlan menggantikan Tan Sri Noh Omar yang telah meletakkan jawatan pada 1 September lalu setelah dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Menurut PUNB, Ahmad Nazlan pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) pada tahun selama setahun.

“Beliau sebelum ini juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Kolej Poly Tech Mara (KPTM) pada tahun 2015 hingga 2018 selain pernah menjadi Ahli Majlis Penasihat Felda dan Ahli Lembaga Pengarah di Lembaga Global Ventures Sugar Sdn. Bhd. serta Lembaga Pertubuhan Peladang.

“Ahmad Nazlan memiliki Ijazah Sarjana Muda Bimbingan Kaunseling dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Sijil Perguruan Asas dari Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, Ahli Lembaga Pengarah, pengurusan dan warga kerja PUNB merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan Ahmad Nazlan dan mengalu-alukan kehadiran beliau di PUNB.

Katanya, Ahli Lembaga Pengarah, pengurusan dan warga kerja perbadanan itu juga mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Noh atas sumbangan serta komitmen yang telah diberikan sepanjang berkhidmat sebagai Pengerusi PUNB.

“Dengan pengetahuan dan pengalaman luas Ahmad Nazlan diharap dapat membantu memacu kecemerlangan sekali gus memantapkan kedudukan PUNB sebagai pusat pembangunan keusahawanan bumiputera terulung negara,” katanya.

Sumber: UtusanTV

Previous post SEMUA OPERASI DALAM SEKTOR PEMBINAAN TANPA SURAT KEBENARAN CIMS MITI
Next post Al Ansar catat jualan banglo RM7.5 juta ketika pandemik