PENYANYI Eylia Guntabid, 19, dinobatkan juara StarVoices Asia musim ketujuh (SVA7) selepas menewaskan saingannya Shafira Putri Kusumaningyu dari Indonesia, semalam.
Eylia atau nama sebenarnya Eylia Eyre Guntabid sekali gus menjadi penyanyi pertama dari Malaysia mencipta sejarah menang pertandingan nyanyian dalam talian itu dan membawa pulang wang tunai RM7,300.
Anak jati Kota Kinabalu, Sabah itu menyifatkan kemenangan terbabit satu keajaiban manis yang tidak pernah dijangka mampu dikecapinya.
“Saya dianugerahkan sokongan tidak terhingga daripada ramai sejak hari pertama hingga SVA7 berakhir. Saya menangis gembira kerana ini satu keajaiban yang pernah berlaku dalam hidup saya.
“Saya ingin ucapkan jutaan terima kasih terutama buat keluarga tercinta yang membantu secara keseluruhan sepanjang tempoh pertandingan itu. Sentuhan kamu semua memang tidak pernah mengecewakan.
“Terima kasih buat juri-juri yang sentiasa memberi inspirasi kepada kami untuk terus naikkan semangat dan minat kami. Terima kasih kru SVA7 dan tahniah juga buat Shafira Putri,” katanya.
Pada pusingan akhir itu, Eylia dan Shafira mempersembahkan lagu medley untuk penentuan juara. Eylia berjaya mengagumkan juri serta penonton dengan vokal memukau menerusi lagu Run To You (Whitney Houston) dan All By Myself (Celine Dion).
Menurutnya, dia berusaha mencabar kemampuan vokalnya ke tahap lebih tinggi demi memastikan persembahan akhirnya itu mampu meninggalkan impak.
“Lagu All By Myself adalah antara lagu paling mencabar pernah saya bawakan. Saya seorang penyanyi yang risau bahagian nota tinggi, tapi terus berusaha atasi ketakutan itu dan keluar dari zon selesa,” katanya.

Mengimbas kembali pencapaian kerjayanya dalam bidang nyanyian, Eylia yang juga merupakan artis di bawah naungan Broadway Entertainment pernah memenangi lima pingat emas dan satu Perak di World Championship Of Performing Art yang diadakan di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2019 seterusnya menghasilkan single pertama beliau bersama Broadway Entertainment yang bertajuk “Aku Masih Cinta”.
Namun akibat kekangan pendamik COVID-19 serta kesulitan untuk membawa Eylia ke Kuala Lumpur disebabkan arahan larangan rentas negeri dan SOP lain sepanjang setahun setengah ini membantutkan rangka promosi.
Setelah banyak rancangan terpaksa ditunda, Eylia mengambil inisiatif untuk menyertai pertandingan Starvoices yang dikendalikan secara dalam talian sepenuhnya, beliau mengambil peluang ini untuk memperkenalkan bakatnya lebih jauh dengan menggunakan teknologi digital.
“Kami berbangga dengan kejayaan Eylia dalam Starvoices. Ini adalah satu langkah terbaik dari Eylia untuk mengukuhkan lagi karier seninya di jangka masa panjang,” kata Boon Tan, pemilik Broadway Entertaiment.
Pentadingan yang diadakan setiap hujung minggu sejak tiga bulan yang lalu diadili undian juri awam menerusi media sosial dan juga pemarkahan dari empat orang juri profesional dari Indonesia itu dianjurkan sejak 2011 dan disiarkan menerusi Instagram rasmi StarVoices Asia.