KUALA LUMPUR – Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) menyasarkan membiayai lebih 10,000 bakat Bumiputera baharu dan lebih 6,500 penerima faedah sedia ada yang menjalani latihan dalam bidang berimpak tinggi seperti kewangan, perakaunan, teknologi dan spesialis.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Mohd Muzzammil Ismail, berkata bagi 2022, pihaknya akan menumpukan kepada program menaik taraf latihan dan melatih semula supaya tenaga kerja bersedia serta kekal relevan dalam dunia pasca COVID-19.
Menyambut baik Bajet 2022 yang turut memberi penekanan kepada agenda pemerkasaan Bumiputera, beliau berkata Yayasan Peneraju kekal fokus memperkukuh pembinaan kapasiti profesional Bumiputera berkualiti serta berkemahiran tinggi berdasarkan permintaan industri dan pasaran.
“Saya yakin suntikan dana ini akan merangsang Yayasan Peneraju untuk meluaskan akses kepada kumpulan sasar serta memperkenal program baharu yang memenuhi keperluan ekonomi semasa dan pasaran pekerjaan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Ketika membentangkan Bajet 2022 pada 29 Oktober lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata RM6.6 bilion disediakan bagi kemudahan pendidikan anak-anak bumiputera antaranya di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Yayasan Peneraju.
Mohd Muzzammil juga berkata, dalam tempoh sembilan tahun penubuhan Yayasan Peneraju, ia berjaya memberi manfaat kepada lebih 40,000 individu melalui 350 program pembiayaan merangkumi pelbagai segmen bumiputera di seluruh Malaysia termasuk B40, M40, luar bandar dan golongan terpinggir. – SUKSES NEWS