KUALA LUMPUR 18 Nov – CIMB Group Holdings Bhd telah menamakan Lani Darmawan sebagai Pengarah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CIMB Niaga yang baharu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata, pelantikan tertakluk kepada kelulusan pemegang saham semasa mesyuarat agung luar biasa (EGM) CIMB Niaga pada 17 Disember ini dan kelulusan oleh Otoritas Jasa Kewangan selepas itu.
“Lani akan menggantikan Tigor M Siahaan. Lani, yang mempunyai pengalaman perbankan lebih 35 tahun, ketika ini adalah CEO perniagaan pengguna CIMB Niaga dan telah bersama kumpulan sejak 2016,’ kata kumpulan perbankan itu.
CIMB Group berkata, Lani adalah pemimpin terkemuka dan terbukti dalam perbankan pengguna dengan rekod prestasi yang kukuh dalam membangunkan kedudukan peneraju pasaran meretasi rantaian nilai perbankan runcit, meliputi jualan dan pengedaran, produk, pengurusan kekayaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perbankan digital.
Pelantikan itu dibuat selepas semakan semula proses pemilihan dan penggantian menyeluruh, katanya.