KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada Khamis lalu (18 Nov), menganjurkan Anugerah Media PERKESO 2021 dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI) bersempena dengan ulangtahun penubuhan pertubuhan berkenaan yang ke-50.
Sembilan anugerah dipertandingkan dengan sejumlah 250 orang calon menyertai anugerah yang memberi liputan berkaitan Perkeso.
Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammad Azman Aziz Mohammed berkata, anugerah ini diadakan bagi menghargai serta mengiktiraf sumbangan dan jasa pengamal media tempatan yang telah banyak membantu dalam mendidik dan meningkatkan kesedaran orang awam mengenai perlindungan keselamatan sosial di bawah Perkeso.
“Bertemakan ‘Prihatin Lima Dekad dan Selamanya’, anugerah ini memberi penghormatan kepada pengamal media melalui laporan yang disediakan dengan hadiah keseluruhan wang tunai RM24,000 untuk dimenangi oleh peserta, selain trofi,” katanya dalam ucapan di malam anugerah media berkenaan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dan MPI, Datuk Dr Chamil Wariya turut hadir pada majlis yang julung kali diadakan itu.
Tambah beliau, industri media merupakan antara tulang belakang yang kuat dalam membantu memperkenalkan Perkeso kepada masyarakat melalui info dan berita yang disampaikan menerusi pelbagai platform sama ada media cetak, media elektronik serta media digital.

Liputan The Star mengenai perlindungan pekerja mendapat pengiktirafan dari Perkeso apabila wartawannya, Allison Lai dianugerahkan “wartawan terbaik untuk media cetak” dan membawa pulang wang tunai RM2,000 pada Anugerah Media Perkeso yang julung kali diadakan.
Ketua pegawai kandungan Star Media Group Esther Ng menerima anugerah tersebut bagi pihak Lai, yang tidak dapat menghadiri majlis itu kerana dia kini berada di Melaka bagi membuat liputan pilihan raya negeri.

Sementara itu, Berita Harian (BH) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Emas Perkeso 2021 dan anugerah disampaikan Saravanan kepada Pengarang Kumpulan BH, Datuk Saidon Idris yang membawa pulang trofi, sijil serta wang tunai RM5,000.
Selain itu, wartawan BH, Suzalina Halid, Latifah Arifin dan Fahmy Azril Rosli turut memenangi Anugerah Laporan Media Cetak Terbaik dengan membawa pulang RM3,000 beserta trofi dan sijil penghargaan.
Kemenangan itu hasil penulisan mereka melalui Laporan Khas bertajuk Bekerja dari Rumah Tingkatkan Kes Kemurungan, Tekanan Emosi yang melaporkan kesan negatif konsep bekerja dari rumah.

Pada majlis yang sama, wartawan dan juga penyampai berita Astro AWANI, Nailah Huda merangkul Anugerah Laporan Berita Media Eloktronik Terbaik PERKESO 2021. Laporannya bertajuk Ulang Tahun ke-50 Prihatin sebagai ‘DNA’ PERKESO yang pernah disiarkan oleh berita di saluran Astro AWANI telah berjaya dipilih selepas melepasi kriteria yang ditetapkan juri.
Wartawan TV3, Juliana Ismail juga turut memenangi anugerah wartawan terbaik dalam kategori media elektronik sekaligus menggondol wang tunai RM2000 beserta trofi dan sijil penghargaan.

Sumber: Kosmo, mStar, Berita Harian, Astro Awani, Buletin TV3