KUALA LUMPUR, 1 April 2022 – Bulan Ramadan yang bakal tiba pasti membawa seribu satu pembaharuan buat kita semua, Rocketfuel Entertainment dengan bangganya menghimpunkan hampir kesemua artis naungannya dalam sebuah single Raya istimewa berjudul ‘Raya Kita Raya’ ciptaan komposer-komposer terkenal seperti Amy Bong, Lan Todak, Mat Semat dan Haqfie.

Single Raya ini menampilkan barisan artis popular tanah air seperti Syamel, Sufi Rashid, Ara Johari, Amira Othman, Yuka Kharisma, Dafi, Irfan Haris, Masya Masyitah, Timah, Hady Mirza, Idris Brown, Syazwan Shuhaimi dan ramai lagi.

“Demi memeriahkan bulan suci Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi dan sambutan Aidilfitri di penghujungnya, kami artis-artis Rocketfuel sepakat bergabung secara kolektif untuk menyumbangkan suara kami dalam sebuah single Raya yang istimewa.

“Berbezanya pada kali ini, single ini dicipta bagi meraikan sambutan Hari Raya yang kita rindui bersama-sama mereka yang tersayang. Jika pada tahun lepas kita beraya secara berjauhan dan hanya melalui panggilan zoom, kali ini kita mungkin dapat bersua dengan mereka yang sudah lama kita tidak temui,” kongsi Irfan.

Walaupun kebanyakkan artis Rocketfuel sibuk dengan perjalanan seni masing-masing setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimansuhkan, mereka masih berkesempatan berkumpul untuk merakamkan single Raya Kita Raya ini.

“Jika dahulu, segala aktiviti seni terpaksa dihentikan kerana pandemik COVID-19 yang melanda dunia, kini dalam keadaan norma baharu, semuanya kembali aktif dan beransur-ansur secara perlahan.

“Dan sebagai meraikan bulan puasa pada tahun ini, Rocketfuel tampil memeriahkan bulan yang mulia ini dengan buah tangannya yang terbaharu,” jelas Sufi.

Proses rakaman yang dijalankan secara berperingkat bagi setiap artis mengambil masa hampir sebulan untuk dilaksanakan termasuk proses suntingan and pengubahsuaian.

“Setiap dari kami melakukan proses rakaman secara berasingan dan kemudiannya dicantumkan menjadi satu oleh komposer yang bertanggungjawab.

“Saya mengambil masa kurang dari 1 jam untuk merakamkan bahagian saya dan beberapa artis lain dalam kumpulan kecil bagi bahagian korusnya pula,” ujar Yuka.

Setelah hampir 2 tahun negara beraya di dalam fasa pandemik, bagi tahun 2022, era endemik mengambil tempat sekaligus membolehkan pergerakan merentas daerah dan ke negeri-negeri lain.

“Lagu Raya Kita Raya ini menceritakan tentang betapa meriahnya Raya pada kali ini setelah hampir 2 tahun tidak dapat pulang ke kampung halaman. Setelah hampir keseluruhan rakyat Malaysia menerima vaksin dan sentiasa menjaga SOP, kita sudah bersedia untuk menjalani kehidupan seperti biasa namun kesihatan, peraturan dan langkah berjaga-jaga tetap diambil,” kata Dafi.

Sebagaimana lazimnya sesebuah lagu Raya, melodi yang ditonjolkan ada elemen nostalgia yang sentiasa menjadi pilihan komposer, selain susunan muziknya yang kaya dengan bunyi-bunyian tradisional yang disulam dengan instrumen moden menambah lagi dinamik keraian sesebuah perayaan.

Kongsi Syamel, “Ramadan kali ini sangat istimewa buat saya dan Ernie kerana kehadiran puteri sulung kami, Nur Khawla Soleha yang berusia hampir 2 bulan. Mungkin pada bulan puasa ini saya akan mengurangkan aktiviti seni dalam lebih fokus terhadap ibadah selain meluangkan masa bersama keluarga.

Sebuah video muzik (MV) istimewa juga turut dilancarkan dengan menampilkan hampir kesemua artis Rocketfuel dalam suasana yang cukup kecoh namun meriah ibarat persiapan menjelang Raya nanti. 

Ketua Label & Penerbitan Rocketfuel Entertainment, En. Erick Yew berkongsi, “Setiap tahun, Rocketfuel turut memeriahkan bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri dengan lagu Rayanya yang menarik.

“Semoga pendengar semua terhibur dan mendapat semangat baharu menjelang hari yang berbahagia nanti.

Kongsi Hady mewakili keluarga besar Rocketfuel: “Terimalah buah tangan indah dari kami ini semua, semoga kita semua dapat menyambut bulan puasa dengan amalan-amalan yang lebih mendekatkan diri dengan Tuhan.

“Saya juga berharap pendengar dapat berhibur dengan lagu Raya Kita Raya ini dan jalinkanlah ukhwah sesama kita dan tidak sabar rasanya untuk pergi ke rumah terbuka bertemu sanak-saudara dan sahabat-handai!

Lagu ‘Raya Kita Raya’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.

-TAMAT-

 

Tajuk : RAYA KITA RAYA

Artis : Syamel, Sufi Rashid, Ara Johari, Amira Othman, Yuka Kharisma, Dafi, Irfan Haris, Masya Masyitah, Timah, Hady Mirza, Idris Brown & Syazwan Shuhaimi

Penulis Lirik : Amy Bong, Lan Todak & Mat Semat

Komposer : Amy Bong & Haqfie

Terbitan : Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd.



Sufi Rashid:

Sebulan kita berpuasa

Menahan lapar dan dahaga

 

Syamel:

Kesabaran serta ketabahan

Menjadi satu kemenangan

 

Yuka Kharisma:

Salam hari lebaran

Bersama kita raikan

Pada teman dan taulan

Janganlah kita lupakan

 

Ara Johari:

Pada sanak saudara

Marilah kita gembira

Tak kira apa jua

Jangan lupa duit raya

 

Sufi Rashid:

Bersama kita raikan

Lebaran penuh keberkatan…

 

Solo

 

Amira Othman:

Memuji nama Mu Ilahi



Dihari yang mulia ini

 

Solo

 

Irfan Haris:

Memohon serta bermaafan

Bersama raikan lebaran

 

Hady Mirza:

Salam hari lebaran

Bersama kita raikan

Pada teman dan taulan

Janganlah kita lupakan

 

Timah:

Pada sanak saudara

Marilah kita gembira

Tak kira apa jua

Jangan lupa duit raya

 

Masya Masyitah:

Salam hari lebaran

Bersama kita raikan

Pada teman dan taulan

Janganlah kita lupakan

 

Syazwan Shuhaimi:

Pada sanak saudara

Marilah kita gembira

Tak kira apa jua

Jangan lupa duit raya

 

Idris Brown, Syamel, Ara Johari:

Bersama kita raikan

Lebaran penuh keberkatan

 

Ramai-ramai:

Bersama kita raikan

Lebaran penuh keberkatan…

Previous post Semangat Lebaran Hasif Upin dan Yunadia dalam ‘Nostalgia Raya’
Next post Klasik pilihan Ernie Zakri menerusi ‘Zapin Lebaran’