SEGAMBUT, 10 Oktober 2022 – Selaras dengan tanggungjawab sebagai ahli BERSATU dan patuh kepada tuntutan perundangan, BERSATU Bahagian Segambut telah melaksanakan mesyuarat dengan kehadiran ahli-ahlinya termasuklah dari Bahagian, Armada dan Srikandi, pagi tadi.
Persidangan Bahagian yang berlangsung di Dewan Sivik Flat Taman Sejahtera telah berjalan dengan penuh tertib dan mematuhi peraturan serta etika persidangan BERSATU.
Ketua Sayap Bersekutu BERSATU, Datuk Dr. Chong Fat Full telah hadir di dalam majlis ini bagi melancarkan perasmian Sayap Bersekutu Bahagian Segambut dan juga menerima 500 pendaftaran baru ahli bersekutu yang didaftarkan secara online daripada Ketua Sayap Bersekutu Bahagian Segambut, Datuk Simon Suresh V di majlis tersebut.
Menurut Dr Chong, pendekatan pelbagai program yang dianjurkan BERSATU Segambut sebelum ini telah mendapat perhatian golongan muda.
Jelas beliau, usaha ini dapat dilihat apabila sebahagian besar dari 500 penyertaan ahli baru adalah terdiri di kalangan golongan muda.

“Keahlian di Bahagian Segambut terus bertambah dengan menarik minat beberapa orang baru untuk menyertai parti BERSATU.
“Kini parti BERSATU menerima banyak maklum balas positif terutama golongan muda untuk menyertai parti. Hal ini jelas menunjukkan bahawa semakin ramai golongan muda menerima BERSATU sebagai wadah politik yang diyakini mereka,” katanya ketika berucap melancarkan perasmian Sayap Bersekutu Bahagian Segambut.

Terdahulu, Setiausaha BERSATU Badan Pimpinan Negeri (WP) Mohd Barul Ezan merasmikan persidangan Segambut yang turut dihadiri oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Dr. Faiz Na’aman serta 128 perwakilan daripada bahagian, cawangan dan sayap BERSATU Segambut.
Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Sdr Mahathir Hj Mohd Rais mengiringi tetamu undangan meninjau acara acara anjuran Srikandi & Armada yang terdiri daripada sukan esport, sukaneka kanak-kanak pertandingan memasak pencuci mulut, menggubah bunga.
Hampir 400 orang penduduk Flat Taman Sejahtera telah hadir mememeriahkan majlis Kenduri Rakyat yang telah dianjurkan sempena mesyuarat persidangan tahunan bahagian itu.
Hadir sama ialah wakil-wakil daripada badan bukan kerajaan (NGO) setempat, rakan-rakan komponen Parti Perikatan Nasional, dan masyarakat setempat.