Oleh Adam Salleh

JIWA kental guru dan murid dengan serba kekurangan ketika mengajar dan belajar menjadi intipati penting di sebalik pementasan teater Cikgu Anda.

Yayasan Anda Akademik (YAA) diasaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1971 seringkali dikaitkan dengan pelajar miskin, keciciran yang pelajaran memungkinkan tiada masa depan.

Watak seperti Faridah, Adibah dan pelajar miskin Nazri adalah fenomena biasa pelajar di YAA yang kecundang di peringkat awal dalam peperiksaan tetapi bangkit mengejar segulung ijazah hasil suntikan moral sekolah swasta Islamik itu.

Sebaliknya di YAA guru tidak terkecuali menghadapi pahit getir tersendiri seperti mana dilalui cikgu Rohizad yang mengajar pada 1982  dibayar gaji RM250 sebulan.

Rohizad juga Timbalan Pengarah Teater Cikgu Anda berkata, selepas dua tahun mengajar pagi dan petang di YAA barulah gaji beliau dinaikkan RM50 menjadi RM250 sebulan.

“Tidak seperti sekolah kerajaan guru mengajar cuma satu sesi, kami di YAA kena mengajar pagi dan petang.

“Kos kehidupan ketika itu kian meningkat. Saya turut terkesan hidup di ibu kota lalu berjumpa pengetua minta naik gaji tapi dibalas ini perjuangan sheikh,” katanya.

Rohizad tumpang bangga berikutan adanya guru-guru di YAA kini melakar nama dalam politik seperti Anwar Ibrahim sendiri, Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, Datuk Fuad Hassan dan Datuk Seri Shakar Shamsuddin.

Teater Cikgu Anda diterbitkan Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia (PAYAAM) dengan kerjasama Persatuan Melodi Artis dan Barakah Seni Malaysia (PEMEKAR) dan Grand Barakah Hotel akan dipentaskan pada 9 dan 10 Jun ini di Grand Barakah Hoteljam 8.30 malam.

Persembahan pada 9 Jun khusus untuk pelajar sekolah sekitar Ampang dan jemputan khas YB Rodziah Ismail, manakala persembahan pada 10 Jun untuk tetamu khas sahaja akan dihadiri Anwar Ibrahim sebagai Penaung PAYAAM.

Cikgu Anda cetusan idea Datuk Suhaimi Ibrahim selaku Pengerusi PAYAAM hasil skrip Anwar Idris diarahkan seniman juga aktivis teater Amran Nasrudin.

Insan Akademi Yang Bertaqwa yang diperjuangkan YAA bagi Suhaimi nyata membawa berkah apabila itu kini melahirkan pelbagai tokoh penting dalam negara sama ada di kalangan masyarakat, politik dan korporat di tanah air kita.

Pelancaran teater Cikgu Anda pada 1 Jun lalu disempurnakan Senator Datuk Seri Prof. Dr Awang Sariyan di lokasi sama. 

Pengarah Amran Nasrudin berkata peluang  mengangkat naskah Cikgu Anda ke pentas teater satu penghormatan buat PEMEKAR mengenangkan cikgu yang menjadi fokus utama kini PM ke-10.

“Kegigihan Datuk Seri Anwar Ibrahim  bersama sekumpulan siswazah universiti menggerakkan Yayasan Anda Akademik kini membuahkan hasil apabila ramai pelajar dari YAA ini berjaya menjawat jawatan tertinggi negara, jabatan kerajaan dan swasta,” katanya.

Previous post PM Berikrar Untuk Terus Perangi Rasuah Selepas Tayangan Khas ‘Anwar, The Untold Story’
Next post Anita Bikers dan Al Kangsari Travel jalin kerjasama anjur kursus serta ziarah Umrah Bumi Anbiya