KUANTAN: Memilih untuk menjadi usahawan berbanding bekerja makan gaji bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan lebih-lebih lagi selepas pandemik Covid-19 berlalu.
Banyak rintangan dan kekangan terpaksa dihadapi namun cabaran itu akan menjadi mudah dengan berbekalkan tekad dan kecekalan untuk terus berjaya dalam mencari rezeki.
Bagi seorang pengusaha dalam bidang penjualan dan pembuatan kek serta bakeri, Sarimah Musa,38, berbekalkan pembelajaran membuat kek melalui aplikasi ‘Youtube’ dia mengatur keyakinan memulakan langkah untuk berniaga, lima tahun lalu.
Menurutnya, minat untuk membuat kek memang ada tetapi tidak pernah mencuba kerana menganggap ia merupakan kerja yang sangat meremehkan.

“Tujuan saya memulakan perniagaan sama seperti orang lain yang berhasrat menambah pendapatan bagi membantu keluarga, namun pada ketika itu langsung tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk membuat kek.
“Puas memikirkan perniagaan yang patut dilakukan, akhirnya saya memilih menjual kek dan mula belajar sendiri melalui aplikasi ‘Youtube’ bermula dari pemilihan produk, membeli barangan pembuatan dan bahan mentah, membuat hinggalah kepada dekorasi.
“Setiap hari, saya buat kajian rasa macam budak baharu belajar. Di samping itu, banyak juga modal dihabiskan sehingga dapat hasil memuaskan dan kek terawal saya berjaya buat ialah kek Red Velvet dan Japanese Cotton Cheese,” katanya ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia di kafenya, Cake and Cheese Baker, Taman Guru, Jalan Gambang, Kuantan.
DARI RUMAH KE ‘CARBOOT SALE’
Sarimah yang dibantu suami, Mohamad Rezal Mohamad Khalis, 44, berkata, dia memulakan langkah dengan membuat jualan kepada saudara-mara dan rakan terdekat dari rumah sahaja.
Jelasnya, apabila pembuatan meningkat suaminya mencadangkan untuk meniaga di tapak perniagaan Carboot di Taman Kerang, berdekatan Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah.
“Sebagai orang yang masih baharu berniaga ketika itu, saya memulakan perniagaan di situ dengan dua jenis kek. Alhamdulillah, hampir setiap malam jualan habis.
“Ketika itu, saya terpaksa bawa anak-anak untuk berniaga di tapak Carboot itu… bermula dari pukul 6 petang kami sekelurga dah sampai sehinggalah tamat kira-kira pukul 12 tengah malam.
“Suami dan anak-anak juga menjadi kekuatan kepada saya untuk terus menghasilkan lebih banyak pilihan kek. Bermula dengan dua biji kek dan kini kami sudah berjaya menjual lebih 12 jenis produk kek dan dessert di Carboot,” katanya yang sudah memasuki tahun ke lima berniaga di situ.
Dalam pada itu, tambahnya, dengan hasil perniagaan tersebut betul-betul dapat merubah pendapatannya berikutan sambutan pelanggan begitu luar biasa.
Katanya lagi, hasil daripada perniagaan di situ, dia dan suami berjaya membuka sebuah kedai kek berkonsepkan moden dan santai sekitar 2021.

“Suami saya sebelum ini bekerja, namun setelah melihat potensi perniagaan yang saya usahakan dan ada tanda-tanda untuk berkembang maju, dia (Mohamad Rezal) nekad berhenti kerja dan mulakan bisnes kek ini bersama-sama secara sepenuh masa,” katanya.
CABARAN
Mengenai cabaran yang ditempuh, ibu kepada empat anak ini mengakui ia sangat berbeza daripada zaman sebelum pandemik, kerana kuasa pembeli dilihat semakin berkurangan.
Kata Sarimah, namun begitu cabaran itu membuatkannya melipat gandakan usaha jualan dan promosi serta tidak bergantung kepada kedai sahaja.
“Bila dah ada bisnes sendiri, secara automatik akan fikirkan bagaimana hendak membuat keuntungan selain terpaksa menempuh cabaran berurusan dengan karenah pelanggan yang berbeza setiap hari. Mereka ada yang boleh menerima produk kita dan sebaliknya.
“Selain itu, antara perkara lain yang mencabar sepanjang mengusahakan perniagaan adalah ketika waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memandangkan radius penjualan kek adalah lebih kecil. Namun permintaan terutama kek hari jadi ketika itu masih tinggi hinggakan pendapatan kedai kami juga meningkat.
“Dalam waktu yang sama, adakala kami sukar juga mendapatkan bahan mentah… agak bermasalah ketika itu tapi masih boleh teruskan hingga tamat PKP. Saya tetap bersyukur,” kata wanita berasal dari Sandakan, Sabah itu.
KEUNIKAN CITARASA
Sementara itu, Sarimah turut memaklumkan, penjualan keknya lebih tertumpu kepada produk kek yang viral.
Ujarnya, kek dan bakeri viral memberi impak bukan sahaja kepada penjualan malahan kedai yang diusahakannya menjadi lebih dikenali.
“Bermula dengan dua kek sahaja, kini saya sudah berjaya menempatkan kira-kira 40 jenis kek pelbagai perisa di kafe ini… semua dipelajari sendiri secara atas talian tanpa memasuki mana-mana kelas membuat kek.
“Antara produk yang menjadi permintaan ‘keras’ pembeli Cheese Leleh, Manggo Cheese Cake, Red Velvet, Cheese Cake Biskoti, Choclate Moist dan Brownies.
“Selain itu, paling memberi kepuasan kepada saya adalah penjualan Pavlova dan Japanese Cotton Cheese kerana pada mulanya saya sendiri tidak pernah tahu produk ini apatah lagi merasainya. Syukur, saya berjaya hasilkan mengikut citarasa pembeli,” katanya.
Sarimah menambah, kini kedai kek dan bakerinya memasuki tahun ketiga pembukaan jadi pelbagai menu tambahan telah ditawarkan.
“Alhamdulillah… saya sudah lebih yakin dan kami mula menyediakan kira-kira 18 jenis minuman pelbagai perisa bagi melengkapi hidangan kek yang dijual.
“Lebih seronok pelanggan sudah boleh menikmati hasil air tangan kami di kedai sambil berborak santai.
“Kami ada menyediakan minuman seperti Manggo Soda, Strawberry Soda dan pelbagai minuman Chocolate, Strawberry dan Kopi yang dikisar bersama ais. Pendek kata sesuai membasahi tekak pelanggan ketika musim panas ini,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia