PUTRAJAYA, 1 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mendaftar diri dengan Identiti Digital Nasional atau Digital ID, menjadikan beliau individu pertama di negara ini memiliki kemudahan Digital ID berkenaan.

Digital ID adalah satu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta, untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.

PM-Anwar-individu-pertama-daftar-Digital-ID
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendaftar Identiti Digital Nasional atau Digital ID di Bangunan Perdana Putra hari ini. Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang (dua, kanan) dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil (kanan). – FOTO BERNAMA

Tanpa menggantikan sistem MyKad, Digital ID adalah platform yang dipercayai dan selamat serta memudahkan pengesahan identiti dalam talian bagi mengelak penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian.

Dengan Anwar yang juga Menteri Kewangan mendaftar dengan Digital ID, ia bakal memberi keyakinan kepada rakyat mengenai keselamatan serta ketelusan sistem berkenaan.

Pada 21 November lalu, Anwar mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM80 juta kepada agensi penyelidikan dan pembangunan (R&D) Mimos Bhd, untuk menyegerakan pelaksanaan Digital ID dan memperkasakan transformasi digital, serta membangunkan inisiatif digital khususnya membabitkan urusan dengan kerajaan.

Mengulas mengenai kebimbangan orang ramai dengan pelaksanaan Digital ID seperti rekod peribadi serta perbankan akan terbocor dan cip diimplan dalam tubuh individu, Anwar menegaskan, ia adalah tidak berasas langsung.

Beliau menjelaskan, dalam membicara soal transformasi digital, rakyat harus menerima kenyataan bahawa negara harus maju seiring dengan perkembangan semasa termasuk penggunaan teknologi.

“Apa takut isu peribadi? Bank Negara Malaysia tidak akan lepaskan rekod personal perbankan peribadi. Jadi yang itu dikawal.

“Kemudian juga kata kononnya ada cip masuk dalam badan dan sebagainya, itu semua tengok banyak sangat filem Hollywood,” katanya kepada para wartawan selepas membuat pendaftaran Digital ID.

Turut membuat pendaftaran Digital ID selepas Anwar adalah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Antara Jemaah Menteri yang turut mendaftar ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Anwar juga menegaskan, sebelum membuat sebarang komentar, seharusnya dengar dahulu penjelasan daripada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berhubung Digital ID supaya ia tidak menjejaskan keyakinan rakyat.

“Buat masa ini kerajaan tidak memaksa mana-mana individu untuk berdaftar dengan Digital ID. Bagaimanapun, penjawat awam keseluruhannya digalakkan untuk mendaftar kerana pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan segala bentuk penyasaran subsidi akan disalurkan melalui Digital ID tersebut,” tegasnya lagi.

 

Sumber: BERNAMA, Sinar Harian

Johor-tubuh-jawatankuasa-lahirkan-lebih-ramai-usahawan-wanita Previous post Johor tubuh jawatankuasa lahirkan lebih ramai usahawan wanita
Negeri-Sembilan-bentang-belanjawan-defisit-RM35juta Next post Negeri Sembilan bentang belanjawan defisit RM35 juta