KUALA LUMPUR, 1 Dis – Lebih 60 usahawan, perniagaan dan tokoh korporat bumiputera menerima pengiktirafan pada Bumiputera Business Excellence Awards (BBEA) 2023 yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur, semalam.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang merasmikan majlis berkenaan berkata, acara tersebut diharap dapat menjadi inspirasi dan motivasi kepada orang lain untuk menceburi bidang keusahawanan.

EWON Benedick bergambar bersama penerima Anugerah Bumiputera Business Excellence Award (BBEA) 2023 di Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/SYAKIR RADIN

“Di peringkat kementerian, saya akan memberikan sokongan yang bersesuaian. Semoga sokongan dan kerjasama itu dapat membina negara yang lebih baik.

“Saya harap ini akan memberi inspirasi kepada masyarakat untuk berkecimpung dalam keusahawanan seperti penerima anugerah pada majlis ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis tersebut.

Pengerusi BBEA, Mahathir Mahzan berkata, inisiatif tersebut diharapkan akan terus melahirkan lebih banyak usahawan bumiputera yang berjaya dan berpotensi untuk membantu membangun dan memulihkan ekonomi negara.

“Sesungguhnya, anugerah ini bakal menjadi pembakar semangat untuk memastikan lebih banyak kejayaan yang luar biasa oleh usahawan dan syarikat-syarikat bumiputera,” ujarnya.

Dalam majlis tahunan itu, BBEA 2023 turut menghargai sumbangan usahawan selebriti yang telah menterjemahkan kejayaan mereka daripada industri hiburan kepada dunia perniagaan dengan menggabungkan sambutan dan pengiktirafan.

Antara selebriti terkenal tanah air yang menerima pengiktirafan ini ialah Rozita Che Wan.

Selain itu, penyanyi legenda Malaysia termasuk Datuk Ramli Sarip, Datuk Zanial Abidin dan Datuk Nora Ariffin menerima penganugerahan atas jasa dalam industri muzik di dalam dan luar negara.

Majlis itu telah berjaya menghimpunkan hampir 300 orang tetamu, termasuk pelbagai usahawan bumiputera yang berpotensi, Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan pemimpin korporat. – UTUSAN

Negeri-Sembilan-bentang-belanjawan-defisit-RM35juta Previous post Negeri Sembilan bentang belanjawan defisit RM35 juta
Lima-syarikat-muktamad-pegang-70-peratus-saham-DNB Next post Lima syarikat rangkaian mudah alih muktamad pegang 70 peratus saham DNB