KUALA LUMPUR – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menyasarkan kelulusan pembiayaan perniagaan sebanyak RM275 juta kepada perushaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera menerusi tiga skim pada tahun depan.
Skim berkenaan ialah Prosper, Small Prosper Express Evaluation and Disbursement (Speed) dan Islamic Financing For Projects and Contracts (Prosper Impact)
Pengerusi PUNB, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, skim pembiayaan Prosper menawarkan pembiayaan sebanyak RM100,000 hingga RM10 juta manakala SPEED menawarkan pembiayaan ‘fast lane’ sehingga RM200,000 dan Prosper Impact dengan tawaran pembiayaan perniagaan sehingga RM5 juta.
Beliau berkata, PUNB juga telah menerima peruntukan sebanyak RM60 juta untuk mempertingkatkan pemilikan hartanah perniagaan dalam kalangan usahawan bumiputera melalui Program Prosper Hartanah.
“Setakat Oktober, PUNB telah meluluskan pembiayaan perniagaan lebih RM200 juta kepada 420 rakan usahawan. Sejak penubuhan PUNB sehingga kini, sebanyak 14,700 rakan usahawan telah dibantu dengan jumlah kelulusan pembiayaan sebanyak RM4.3 bilion,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Simposium Peruncitan Kebangsaan (SParK) 2023, di sini.
Hadir sama, Presiden Persatuan Peruncit Bumiputra Malaysia (BRO), Datuk Ameer Ali Mydin dan Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin
Bertema ‘Peruncitan masa hadapan: Menelusuri Landskap Perniagaan’, SParK 2023 kali keempat dianjurkan dengan matlamat menyokong dan mempromosikan agenda SDG dan ESG dalam sektor peruncitan.
Dalam pada itu, Acryl Sani memaklumkan, PUNB akan memperuntukkan sebanyak RM30 juta bagi mempromosi dan melaksanakan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) pada tahun depan.
“Ini bukan kali pertama PUNB melaksanakan agenda SDG dan ESG namun, sekarang baru dilihat lebih menonjol. Kita juga banyak membantu inisiatif ESG, SDG kepada usahawan dan kita sedang dalam perancangan untuk memasang solar di semua hartanah di seluruh Malaysia,” katanya.
Bertemakan ‘Peruncitan masa hadapan: Menelusuri Landskap Perniagaan’ SParK 2023 adalah penganjuran kali keempat yang membawa dengan menyokong dan mempromosikan agenda SDG dan ESG dalam sektor peruncitan. Lebih 400 usahawan bumiputera menghadiri simposium tersebut.

Simposium turut membincangkan perubahan landskap perniagaan serta strategi terkini dalam peruncitan melalui perkongsian pengalaman daripada pemain hebat industri yang terkenal dengan jenama masing-masing.
Dalam pada itu, Izwan Zainuddin berkata, pihaknya akan terus melaksanakan inisiatif sedia ada dan merancang pelaksanaan inisiatif baharu yang menyokong dan mempromosikan agenda SDG serta ESG dalam operasi harian PUNB.
Sebagai contoh, katanya, PUNB dalam proses akhir menerbitkan laporan SDG kedua yang akan dimuat naik di portal rasmi dalam tempoh terdekat. Selain itu, PUNB akan melancarkan fasa kedua Program Empowering Orang Asli Communities Through Skills and Training (ECO) pada Januari 2024.
“Pada tahun depan, PUNB juga akan meneruskan, malah menambahbaik program keusahawanan dan pembiayaan perniagaan menerusi Skim Prosper serta memperkenalkan beberapa skim dan program baharu bagi memastikan PUNB terus menjadi institusi utama pilihan usahawan bumiputera,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia