KUALA LUMPUR, 30 November 2023 – Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli, telah membentangkan Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif di Parlimen hari ini.
Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif itu bertujuan untuk menerangkan komitmen Kerajaan bagi mereformasi pasaran buruh dengan matlamat untuk meningkatkan gaji pekerja selari dengan peningkatan produktiviti.
Tumpuan utama Kertas ini adalah untuk menggariskan cadangan Kerajaan mengenai model Dasar Gaji Progresif yang mengandungi ciri-ciri asas, mekanisme pelaksanaan dan sistem penilaian majikan. Selain itu, jangkaan impak, strategi pelaksanaan dan cadangan struktur tadbir urus Dasar Gaji Progresif turut diperincikan dalam Kertas ini.
Sebelum ini Rafizi dilaporkan berkata, peruntukan pelaksanaan rintis gaji progresif untuk pekerja dan syarikat swasta awalnya telah dimasukkan di dalam Belanjawan 2024 di bawah Kementerian Ekonomi.
Jelasnya, ini adalah kali pertama kerajaan campur tangan secara terus untuk meningkatkan gaji sektor swasta.

Projek rintis pelaksanaan gaji progresif akan dilaksanakan pada 2024, bagi menilai keberkesanan dan ketersediaan dasar tersebut.
Ia membabitkan 1,000 syarikat yang memenuhi syarat kelayakan dengan pekerja bergaji antara RM1,500 dan RM4,999.
Projek rintis ini bagi mengekalkan momentum tumpuan kerajaan kepada persoalan gaji rakyat.
Jelas Rafizi lagi, keputusan yang dibuat ialah pelaksanaannya perlu melibatkan kesemua pihak dan digerakkan sebagai langkah bersama satu negara.
Dasar gaji progresif dibuat bagi membantu negara mencapai sasaran bahagian pampasan pekerja sebanyak 45 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh 10 tahun.
Sumber: Astro Awani
Muat turun Kertas putih cadangan dasar gaji progresif di sini
