KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Ketua Penerangan Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan, Mahathir Md Rais dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Badan Pimpinan Negeri, Bersatu Wilayah Persekutuan berkuatkuasa pada Isnin.

Bersatu Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan kepada media memaklumkan, lantikan baharu itu dibuat susulan pelantikan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan bagi menggantikan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman pada November lalu.

“Mesyuarat berkenaan yang berlangsung pada Isnin telah sebulat suara bersetuju dengan lantikan jawatankuasa baharu bagi menguatkan struktur kepimpinan peringkat tertinggi Bersatu Wilayah Persekutuan,” kata Bersatu Wilayah Persekutuan menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Menurut kenyatan itu lagi, Bersatu telah melantik barisan baru melibatkan Timbalan Ketua, Mohd Badrul Ezan; Setiausaha, Mahathir Md Rais dan Bendahari, Zamzuri Muhammad manakala bagi jawatan Ketua Penerangan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz

“Dengan kepelbagaian latar belakang, profesion dan pengalaman, barisan Ahli Jawatankuasa Badan Pimpinan yang baru dilantik, Bersatu Wilayah Persekutuan berazam menjadi salah satu platform politik untuk warga kota serta bersama-sama mendepani cabaran semasa pentas politik negara.

“Dasar Parti Bersatu akan menjadi teras dalam setiap agenda dan gerak kerja ahli jawatankuasa baharu yang telah dilantik,” jelas kenyataan berkenaan.

Kenyataan itu juga memberitahu, personaliti dan kredibiliti Mohd Radzi yang mesra masyarakat dan mudah didekati mampu memberi imej serta nafas baharu kepada Bersatu serta warga kota berdasarkan pengalaman luas beliau sebagai bekas Menteri Pendidikan Malaysia. – SUKSES NEWS

Agong-rasmi-Menara-Merdeka-118 Previous post Agong rasmi Menara Merdeka 118
Next post Trump Vows to “Never Allow” a Central Bank Digital Currency (CBDC)