PUTRAJAYA, 20 Februari 2024 – Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil hari ini melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia yang akan menjadi garis panduan oleh agensi media sekali gus mengangkat martabat media sebagai sumber berita dan maklumat yang diyakini oleh rakyat.

Inisiatif Kementerian Komunikasi ini dilaksanakan menerusi Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen). Kod etika ini turut digunakan sebagai sumber rujukan bagi pengurusan Kad Perakuan Media (KPM) JaPen.

KPM merupakan dokumen pengenalan diri pengamal media daripada agensi media yang diperakukan oleh kerajaan bagi memudahkan urusan liputan acara rasmi.

Etika Kewartawanan Malaysia yang diterbitkan oleh Malaysian Press Institute (MPI) pada tahun 1989 menjadi rujukan utama JaPen bagi pengurusan KPM JaPen sebelum ini.

Seiring dengan evolusi industri media, kod etika tersebut dikemas kini dan menjadi panduan oleh semua pemegang KPM JaPen dalam melaksanakan tugas demi mendukung pembentukan masyarakat yang berinformasi.

Kod Etika Wartawan Malaysia baharu ini terdiri daripada lapan etika utama iaitu:

1. Wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk serta ejen pemudah cara dialog

2. Wartawan hendaklah telus dan berintegriti ketika menjalankan tugas

3. Wartawan digalakkan berusaha secara konsisten untuk berlaku adil dalam menyampaikan maklumat

4. Pemberitaan tidak boleh dipengaruhi kepentingan peribadi

5. Kesahihan dan ketepatan maklumat perlu disemak

6. Wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber

7. Wartawan perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka

8. Wartawan perlu memberikan keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan

Penyediaan Kod Etika Wartawan Malaysia ini turut melibatkan Fakulti Komunikasi, Universiti Sains Malaysia dan Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Mohamad Fauzi bin Md Isa dan Ketua Pengarah Penerangan, YBhg. Dato’ Mohd Sukari bin Ab Hamid.

Dikeluarkan oleh: Jabatan Penerangan Malaysia.

Kredit Foto: Ehsan Kementerian Komunikasi Malaysia

LG-announces-2023-financial-results Previous post LG announces 2023 financial results
Next post Novartis Malaysia diiktiraf antara majikan terbaik dunia empat tahun berturut-turut