SEGAMAT, 23 Mac 2025 – Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook hari ini mengadakan lawatan kerja ke Stesen Keretapi Segamat bagi meninjau kesiapsiagaan kemudahan serta pengoperasian Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang telah bermula di stesen tersebut pada 15 Mac 2025.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif RAC, YBhg. Dato’ Azhar Ahmad; Ahli Lembaga Pengarah RAC YBrs. Tuang Ong Keng Siew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) YBhg. Datuk Mohd Rani Hisham bin Samsudin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YTL Rail YBhg. Dato’ Sri Azmi Abdul Aziz dan En Yeoh Keong Yuan Pengarah Eksekutif Kumpulan YTL Construction.

Lawatan ini bertujuan untuk menilai tahap kesediaan infrastruktur dan kemudahan di Stesen Keretapi Segamat dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan rel kepada rakyat, khususnya penduduk Segamat dan kawasan sekitarnya.

Kini, stesen ini menjadi sebahagian daripada rangkaian ETS yang menghubungkan bandar-bandar utama di Semenanjung Malaysia, sekaligus menawarkan pilihan perjalanan yang lebih pantas, selesa, dan cekap kepada pengguna.

Menurut YB Menteri Pengangkutan, pembukaan Stesen Keretapi Segamat yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden bakal memberikan keselesaan dan pengalaman baharu kepada para penumpang, sekaligus merancakkan lagi penggunaan kereta api sebagai mod pengangkutan awam.

“Kerajaan amat komited untuk memastikan kemudahan pengangkutan awam di Malaysia terus dipertingkatkan. Dengan adanya stesen baharu ini dan lanjutan perkhidmatan kereta api ke bandar-bandar utama, penduduk setempat kini mempunyai akses perjalanan yang lebih pantas, mudah, dan selesa.

Perkhidmatan ETS ini bukan sahaja menghubungkan bandar-bandar utama dengan lebih efisien, malah berpotensi untuk menarik lebih ramai pelancong serta menyokong pertumbuhan ekonomi di Johor. Saya yakin ETS di Segamat akan menjadi pemangkin utama dalam pembangunan infrastruktur pengangkutan awam di kawasan ini,” ujar beliau.

Stesen kereta api ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang selesa termasuk kawasan tempat letak kenderaan yang merangkumi 97 petak kereta, 49 petak motosikal, satu (1) petak bas dan dua (2) petak khas untuk Orang Kurang Upaya (OKU). Selain itu, terdapat ruang menunggu, kaunter serta mesin tiket, lif dan eskalator, tandas, surau serta kedai makanan dan minuman. Kemudahan khas untuk OKU turut disediakan bagi memastikan keselesaan untuk semua golongan penumpang.

Dengan keluasan keseluruhan 11.870 ekar (termasuk 2.254 ekar bagi kawasan stesen), stesen ini menampilkan reka bentuk landasan yang dilengkapi akses melalui tangga, lif, dan eskalator ke platform bertingkat sepanjang 350 meter, memudahkan pergerakan penumpang semasa menaiki dan turun daripada tren.

Stesen kereta api ini turut menampilkan pelbagai ciri komersial, menjadikannya lebih daripada sekadar pusat pengangkutan. Ruang pengiklanan yang strategik telah disediakan dengan 10 panel poster di platform dan 10 lagi di ruang menunggu memberi peluang kepada jenama dan perniagaan untuk menjangkau khalayak yang lebih luas.

Ketua Pegawai Eksekutif RAC, YBhg. Dato’ Azhar Ahmad turut mempelawa para peniaga dan usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka di stesen kereta api ini.

“Kami menawarkan penyewaan kaunter mini mudah alih serta ruang di dalam kawasan stesen dengan kadar yang berpatutan. Dengan adanya aktiviti seperti ini, stesen kereta api ini bukan sahaja menjadi pusat transit yang moden dan selesa, tetapi juga hab komersial yang menyokong pertumbuhan ekonomi setempat. Kepada yang berminat boleh berhubung dengan kami melalui kod QR yang disediakan atau e-mel commercial@rac.gov.my”, katanya.

Terletak berhadapan dengan Terminal Pengangkutan Awam Segamat yang menyediakan perkhidmatan bas ekspres dan domestik, stesen kereta api ini melengkapkan kewujudan hab pengangkutan moden dan kondusif di bandar Segamat.

Selain Stesen Keretapi Segamat, Stesen Keretapi Genuang juga telah mula beroperasi pada 15 Mac 2025. Kedua-dua stesen ini telah diserahkan secara rasmi kepada Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dalam fasa Serahan Sebahagian (CPO-1) oleh kontraktor projek, SIPP-YTL. Kedua-dua stesen ini akan diselenggara sepenuhnya oleh RAC.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif hijau, stesen kereta api ini telah dilengkapi dengan sistem pencahayaan tenaga solar serta sistem e-aduan bagi memastikan maklum balas orang ramai dapat ditangani dengan lebih cekap dan berkesan. Di samping itu, sistem penyelenggaraan digital melalui aplikasi dalam talian turut diperkenalkan bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan operasi harian.

RAC komited untuk memastikan pengalaman terbaik kepada semua pengguna dengan menyediakan kemudahan yang efisien, selesa, dan selamat di Stesen Keretapi Segamat dan Stesen Keretapi Genuang. Kedua-dua stesen ini merupakan sebahagian daripada 11 stesen kereta api yang dibina di bawah Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas – Johor Bahru, selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasa pengangkutan awam negara.

Sekian, terima kasih.

PERBADANAN ASET KERETAPI

23 MAC 2025

8.5-juta-bakal-terima-Sumbangan-Tunai-Rahmah-Fasa-2-sebelum-Aidilfitri Previous post 8.5 juta bakal terima Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 2 sebelum Aidilfitri
Next post Iftar Nikmat Selera 26 SenjaKelab Golf Seri Selangor