KUALA LUMPUR, 31 Mac 2025 – Hydroshoppe Sdn Bhd, bersama Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), ingin menegaskan bahawa sebarang tindakan pengambilalihan terhadap Menara Kuala Lumpur oleh Lim Seong Hai Capital Berhad  (LSH Capital) melalui anak syarikatnya, LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM), pada Syawal kedua adalah tidak sah dan harus menunggu keputusan perbicaraan di mahkamah.

Sebarang cubaan mengambil alih operasi Menara Kuala Lumpur tanpa keputusan rasmi mahkamah adalah bercanggah dengan prinsip undang-undang yang sedang berjalan.

Pihak kami menekankan bahawa sebarang gangguan terhadap operasi mercu tanda ini boleh menjejaskan industri pelancongan dan pengalaman pengunjung, terutamanya dalam tempoh perayaan Aidilfitri.

“Dalam musim perayaan ini, Menara Kuala Lumpur menjadi destinasi utama bagi pelancong tempatan dan antarabangsa yang ingin menikmati keindahan bandar raya Kuala Lumpur.

Sebarang tindakan yang boleh mengganggu operasi boleh memberi kesan negatif kepada pengalaman pelancong serta mencemarkan keharmonian perayaan,” kata Dato’ Abdul Hamid Shaikh, Pengarah Urusan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd.

Beliau turut menekankan bahawa pihaknya berpegang kepada proses undang-undang dan berharap agar semua pihak berkepentingan menghormati prosedur yang sedang berjalan.

“Kami menyeru agar semua pihak mematuhi proses perundangan dan mengelakkan tindakan terburu-buru yang boleh mencetuskan ketegangan.

“Sebarang pengambilalihan hanya boleh dilakukan selepas keputusan muktamad oleh mahkamah,” tambahnya.

Hydroshoppe Sdn Bhd dan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd berharap agar operasi di Menara Kuala Lumpur dapat berjalan dengan lancar dan tanpa sebarang gangguan sehingga keputusan perbicaraan dimuktamadkan.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Menara Kuala Lumpur

Previous post Peranan SUKSES NEWS dalam membantu pembaca dan usahawan
Next post Amerika Syarikat kenakan tarif kepada 180 negara