WASHINGTON: PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan kadar tarif ke atas lebih daripada 180 negara dan wilayah, termasuk negara Kesatuan Eropah, di bawah dasar perdagangan baharunya.

Beliau berkongsi beberapa carta di media sosial yang memperincikan kadar tarif yang mereka dakwa dikenakan oleh negara lain terhadap AS.

Kadar yang dinyatakan itu merangkumi negara yang didakwa melakukan manipulasi mata wang dan sekatan perdagangan.

Dalam carta tersebut turut dinyatakan kadar tarif yang dikenakan oleh Malaysia terhadap negara itu sebanyak 47 peratus dan AS mengenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus.

Carta kadar tarif perdagangan yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) dan tarif dikenakan negara lain terhadap AS.

Kadar timbal balik baharu ke atas China akan ditambah kepada tarif sedia ada yang berjumlah 20 peratus, menjadikan jumlah sebenar kadar tarif ke atas Beijing di bawah pentadbiran Trump ini kepada 54 peratus.

Trump berkata, pelannya akan menetapkan tarif asas sebanyak 10 peratus secara menyeluruh.

Namun, dalam carta yang disiarkan itu, banyak negara akan menghadapi kadar yang jauh lebih tinggi.

“Kami akan mengenakan kira-kira separuh daripada apa yang mereka kenakan dan telah kenakan ke atas kami,” kata Trump dalam pengumuman di Rose Garden di Rumah Putih.

“Jadi, tarif ini tidak akan sepenuhnya timbal balik,” katanya.

Namun, angka separuh itu termasuk “kadar gabungan semua tarif mereka, halangan bukan kewangan dan bentuk penipuan lain,” tambahnya.

SINAR HARIAN

Previous post Hydroshoppe Sdn Bhd menegaskan tiada gangguan operasi di Menara Kuala Lumpur pada Syawal kedua
Next post Apa itu tarif timbal balik dan bagaimana ia mempengaruhi ekonomi?