Cadangan yang dikemukakan oleh Better Malaysia Foundation (BMF) kepada kerajaan Malaysia berhubung pemilikan rumah dwi generasi merupakan satu cadangan luar akal yang seharusnya ditentang oleh semua pihak.

BMF yang dimiliki oleh taikun Vincent Tan, mencadangkan supaya kerajaan Malaysia membuat satu sistem pinjaman perumahan sehingga 60 tahun bagi membantu golongan B40 untuk membeli rumah persendirian mereka.

Cadangan ini sekiranya diterima kelak akan melahirkan satu generasi anak muda yang sedari lahirnya lagi telah menanggung hutang perumahan yang dibeli oleh ibubapa mereka.

Ini pastinya akan mengikat komitmen generasi akan datang dan tidak lansung menyelesaikan masalah miskin bandar yang ada.

Kerajaan seharusnya tidak melayan permintaan ‘luar akal’ yang dicadangkan oleh pihak kapitalis berkepentingan ini. Seharusnya kerajaan mendesak pihak pemaju kapitalis ini untuk menurunkan harga rumah yang mereka bina dan bukannya terus mengaut keuntungan melampau walaupun atas nama ‘rumah mampu milik’.

Bahkan antara cadangan yang dikemukan oleh BMF adalah membuat rumah mampu milik pada harga serendah RM 120,000 di tengah bandar tetapi dengan keluasan hanya 450 kaki persegi! Juga kononnya sebuah rumah 900 kaki persegi yang mempunyai 5 buah bilik.

Adakah kita ingin melahirkan satu masyarakat masa depan yang terhimpit dengan beban kewangan keluarga dan hidup bekeluarga dalam ruang sempit? Budaya masyarakat kita semestinya tidak sama seperti masyarakat di negara lain yang terikat dengan had jumlah ahli keluarga dan bermacam lagi syarat syarat anti kemanusiaan hanya untuk memuaskan perut dan nafsu kapitalis ini.

Sudahlah sebelum ini kerajaan telah menurunkan had harga rumah yang boleh dimiliki oleh warga asing hanya semata mata untuk melayan kehendak pemaju yang berkepentingan menjual semua rumah mereka.

Kerajaan seharusnya mencari formula tuntas bagi memastikan harga rumah sekarang dapat diturunkan. Sudah tiba masanya untuk kerajaan berhenti melayan permintaan-permintaan luar akal daripada pihak pemaju kapitalis ini.

Nor Aizat Rahimi
Ketua Belia PEMBELA
1 Mei 2021

Previous post Richiamo Coffee sasar 100 Cawangan Sehingga Akhir 2021
Next post KKM kemuka cadangan PKP buat enam negeri