DALLAS – Sebuah buku edisi pertama Harry Potter dijual pada harga AS$471,000 (RM1,988,562) di Amerika Syarikat (AS) pada Khamis lalu.

Menurut firma lelongan Heritage Auction, harga jualan buku tersebut dikatakan mencapai rekod dunia untuk karya fiksyen abad ke-20.

Buku edisi kulit keras terbitan Britain tahun 1997, ‘Harry Potter And The Philosopher’s Stone’ itu dengan ilustrasi berwarna pada muka depan, telah disifatkan oleh Heritage Auctions sebagai ajaib, sangat terang dan terjaga rapi hingga kelihatan sangat hampir asli.

Namun di AS, buku itu dicetak sebagai ‘Harry Potter And The Sorcerer’s Stone’.

Firma pelelong yang berpangkalan di Dallas itu memberitahu, hanya terdapat 500 salinan dengan penjilidan khusus telah dicetak dengan harga akhir adalah lebih enam kali ganda anggaran pra-jualan sebanyak AS$70,000.

Harga lelongan sebelum ini untuk edisi pertama Harry Potter adalah antara kira-kira AS$110,000 (RM463,924) dan AS$138,000 (RM582,014).

“Bukan sahaja buku Harry Potter paling mahal pernah dijual, ia juga karya fiksyen abad ke-20 yang diterbitkan secara komersial paling mahal yang pernah dijual,” kata Naib Presiden Eksekutif Heritage Auctions, Joe Maddalena dalam satu kenyataan.

Buku itu dijual oleh pengumpul AS dan nama pembeli tidak didedahkan.

Selepas buku pertama, penulis J.K. Rowling kemudiannya menulis enam lagi buku mengenai pengembaraan remaja yatim piatu yang juga ahli sihir, dan telah menjual kira-kira 500 juta naskhah di seluruh dunia dalam 80 bahasa, menurut penerbit AS Scholastic.

Buku-buku itu diangkat ke layar perak dengan lapan filem telah menghasilkan AS$7.8 bilion (RM32 bilion). – Agensi

Sumber; wfaa.com

Kenyataan Media: Heritage Auction

 

Previous post Ogawa Malaysia melangkah tahun baru dengan buka semula kedai konsep smart retail
Next post Pengalaman dikejar ah long, bakar semangat bina bisnes baharu